Skip to main content

Dunia

Tentera Iran lepaskan tembakan amaran ke arah 4 kapal berhampiran Selat Hormuz - Laporan

Ships and tankers in the Strait of Hormuz off the coast of Musandam, Oman, April 18, 2026. REUTERS
Fars menyatakan beberapa sumber membayangkan kemungkinan berlaku pertempuran di perairan Teluk. - Foto fail/REUTERS

ISTANBUL: Angkatan tentera Iran melepaskan tembakan amaran ke arah empat kapal berhampiran Selat Hormuz selepas kapal-kapal berkenaan cuba melalui laluan air strategik itu tanpa penyelarasan, lapor Anadolu Ajansi (AA), memetik Agensi Berita Mehr pada lewat Khamis.

Agensi berita Iran itu bagaimanapun tidak memberikan sebarang butiran mengenai kapal-kapal terbabit.

Agensi Berita Fars Iran sebelum ini melaporkan bahawa pihak tentera melancarkan peluru berpandu dari selatan negara itu ke arah “sasaran tertentu”, namun sasaran sebenar tidak dikenal pasti.

Fars menyatakan beberapa sumber membayangkan kemungkinan berlaku pertempuran di perairan Teluk.

Sementara itu, televisyen kerajaan Iran melaporkan bahawa letupan yang kedengaran di bandar Jam di wilayah selatan Bushehr berpunca daripada sistem pertahanan udara yang berhadapan sasaran udara musuh.

Penyiar itu sebelum ini melaporkan satu letupan di bandar berkenaan sebelum memaklumkan bahawa sistem pertahanan udara telah memintas objek udara musuh.

Ketegangan di Asia Barat memuncak sejak Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada akhir Februari lepas.

Tehran bertindak balas dengan melancarkan serangan yang menyasarkan Israel serta sekutu AS di Teluk, selain menutup Selat Hormuz.

Perjanjian gencatan senjata mula berkuat kuasa pada 8 April menerusi pengantaraan Pakistan, namun rundingan susulan di Islamabad gagal menghasilkan persetujuan berkekalan. Presiden AS Donald Trump kemudian melanjutkan gencatan senjata itu tanpa had masa.

Kedua-dua pihak sejak itu terus bertukar-tukar cadangan dan cadangan balas dalam usaha menyambung semula rundingan secara langsung serta menamatkan konflik berkenaan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement