DAVOS: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menegaskan pihak yang terlibat dalam konflik di Gaza tidak mematuhi undang-undang antarabangsa.

Sehubungan itu, Setiausaha Agungnya, Antonio Guterres menggesa semua pihak melaksanakan gencatan senjata dan menghantar bantuan kemanusiaan segera di wilayah Palestin itu.

Bercakap di Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Guterres berkata, pihak yang bertelagah itu "mengabaikan undang-undang antarabangsa, konvensyen Geneva malah melanggar piagam PBB".

Tegasnya, orang awam kebanyakannya wanita dan kanak-kanak dibunuh, dicacatkan, dibom, dipaksa keluar dari rumah mereka dan dinafikan akses kepada bantuan kemanusiaan.

Justeru beliau mengulangi gesaan untuk gencatan senjata kemanusiaan segera di Gaza dan satu proses yang membawa kepada keamanan berterusan untuk Palestin dan Israel berdasarkan penyelesaian dua negara.

Sebelum ini, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu telah menolak gesaan untuk gencatan senjata.

Pengeboman dan serangan darat Israel di kawasan Palestin telah mengusir kebanyakan 2.3 juta penduduk Gaza dari rumah mereka.

Ia juga telah menyebabkan krisis kemanusiaan yang serius kerana penghantaran makanan, bahan api dan bekalan perubatan telah dihadkan.

Tentera Israel baru-baru ini menumpukan serangannya di hujung selatan enklaf, di mana hampir 2 juta orang berteduh di khemah.