BANGKOK: Seorang lelaki warga Jerman ditangkap di Thailand atas dakwaan penderaan seks terhadap kanak-kanak termasuk anak perempuannya sendiri.

Suspek yang hanya dikenali sebagai 'Tony', didakwa mencabul kanak-kanak dan mengedarkan rakaman tersebut di laman web gelap di Jerman.

Memetik laporan Reuters, pihak berkuasa menyerbu rumah Tony di wilayah Udon Thani di timur laut Thailand pada 14 Januari lalu selepas Pejabat Polis Jenayah Persekutuan Jerman menyerahkan maklumat kepada pihak berkuasa Thailand mengenai aktiviti eksplisitnya secara dalam talian.

Jabatan Siasatan Khas (DSI) Thailand kemudiannya menemui peranti elektronik yang mengandungi lebih 10,000 imej lucah kanak-kanak, termasuk gambar anak perempuan suspek.

Polis menahan Tony, yang berdepan pelbagai pertuduhan termasuk penderaan seksual kanak-kanak, memiliki pornografi kanak-kanak, memasukkan maklumat seksual ke dalam sistem komputer, serta serangan seksual terhadap anak sendiri.

Mahkamah Jenayah Thailand turut menolak permintaan tertuduh untuk diikat jamin.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pengarah DSI, Mejar Yutthana Praedam berkata, penahanan Tony adalah hasil kerjasama antara DSI, Pejabat Polis Jenayah Persekutuan Jerman, serta anti-pemerdagangan seks Amerika Syarikat (AS).