SHAH ALAM: Pastikan hari Ahad anda sentiasa bersedia di depan kaca televisyen untuk menyaksikan telatah dua pengacara yang selalu 'masuk air', menerusi program hiburan, Big Stage 2023.

Jika sebelum ini dipertemukan dalam sebuah program Siapa No Syahtu: Lina VS Rina, kali ini Elly Mazlien dan Rina Nose disatukan di atas pentas yang sama.

Kemunculan Rina Nose di atas pentas Big Stage merupakan salah satu kejutan dari pihak produksi di mana sebelum ini hanya Elly Mazlien, atau lebih mesra disapa Kak Lina Pom Pom, yang diumumkan sebagai pengacara program tersebut.

Pastinya gabungan ini merupakan satu gabungan yang dinanti-nantikan oleh peminat hiburan tanah air.

BACA: Format baharu! Big Stage 2023 akan lain daripada yang lain

Namun, apa kelainan yang akan dibawakan oleh dua pengacara ini sepanjang 10 minggu konsert Big Stage berlangsung?

Sama-sama kita nantikannya!

Big Stage 2023 akan bersiaran secara langsung selama sepuluh minggu di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada setiap Ahad, jam 9 malam mulai 7 Mei 2023.

Terdahulu, program Big Stage yang popular dengan tagline “Dominasi BBNU” dihoskan oleh Alif Satar dan Sherry Alhadad.

Pertandingan Big Stage telah menobatkan empat juara sepanjang penganjurannya yang terdiri daripada Sarah Suhairi (2018), bintang Korea Selatan, Hanbyul (2019), Azzam Sham (2020) dan Elica Paujin (2022).