Bintang filem antarabangsa kelahiran Malaysia, Michelle Yeoh akan melakonkan semula wataknya sebagai wirawati Yu Shu Lien dalam filem prekuel Crouching Tiger Hidden Dragon yang akan memulakan penggambarannya Julai ini.

Filem itu diberi judul Crouching Tiger Hidden Dragon II: The Green Destiny.

Penggambaran utamanya akan dilakukan di Auckland Film Studios di New Zealand penerbitnya selepas gagal mendapatkan tempat di Pinewood Iskanda Malaysia Studios di Johor yang telah ditempah sehingga hujung tahun ini untuk pembikinan siri televisyen Marco Polo.

"Filem itu akan diarahkan oleh Yuen Woo-ping, pakar seni mempertahankan diri veteran yang merupakan koreografer aksi filem asal pada tahun 2000," lapor akhbar industri, Variety.

Penerbitnya, The Weinstein Company memilih mengadakan penggambaran di Auckland untuk mendapatkan insentif produksi yang ditawarkan oleh kerajaan New Zealand.

Di bawah peraturan baru yang diperkenalkan bulan ini yang dikenali sebagai Geran Penerbitan Skrin New Zealand, filem cereka yang membelanjakan lebih $15 juta dolar New Zealand (RM42 juta) di negara itu akan mendapat rebat sebanyak 20 peratus daripada perbelanjaan tempatan. Ia adalah pertambahan lima peratus berbanding geran sebelum ini.

Filem prekuel ini akan sekali lagi mengangkat cerita daripada novel bersiri karya Wang Dulu. Usaha menerbitkan prekuel ini tertangguh sejak lebih 10 tahun lalu kerana masalah hak cipta ke atas novel-novel berkenaan, lapor BBC.

Skripnya ditulis oleh John Fusco yang sebelum ini menulis lakon layar The Forbidden Kingdom yang dibintangi oleh Jet Li dan Jackie Chan.

Crounching Tiger Hidden Dragon merupakan filem bahasa Mandarin yang paling berjaya di peringkat antarabangsa dengan kutipan lebih kurang AS$250 juta, dengan lebih separuh daripadanya di Amerika Utara. Ia menang empat anugerah Oscar pada 2001 bagi kategori filem asing terbaik dan tiga anugerah teknikal yang lain.

Filem itu kemudian melancarkan kerjaya pengarah filem dari Taiwan, Ang Lee di Hollywood. Beliau seterusnya menang dua anugerah pengarah terbaik di Anugerah Akademi melalui Brokeback Mountain dan Life of Pi.