SUSAH senang bersama. Itu ikrar penyanyi terkenal, Mulan Jameela yang akan setia memberi sokongan buat suaminya, pemuzik ternama Ahmad Dhani yang kini dipenjarakan selepas dijatuhkan hukuman oleh mahkamah baru-baru ini.

Mulan, 39, berkata, dia akan terus mendoakan Ahmad Dhani, 46, yang ditimpa masalah.

"Yang jelas, saya sebagai isteri tugas saya berdoa dan memberi sokongan yang banyak (kepada Ahmad Dhani)," ujar Mulan kepada media tempatan pada Rabu.
MULAN Jameela berterima kasih pada semua pihak yang memberi sokongan moral pada suaminya, Ahmad Dhani. - Gambar Instagram Mulan Jameela

Pada 28 Januari lalu, Majlis Hakim Mahkamah Negeri (PN) Jakarta Selatan menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan ke atas Ahmad Dhani.

Seniman itu dijatuhkan hukuman tersebut ekoran tiga entri Ahmad Dhani di laman Twitter yang berbaur hasutan dan membangkitkan rasa kebencian terhadap individu dan kumpulan.

Dari aspek pelaksanaan undang-undang ke atas suaminya, Mulan enggan mengulas, sebaliknya, menyerahkan perkara itu kepada pasukan pembelaan Ahmad Dhani.

Dalam masa sama, Mulan berterima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan moral dan mendoakan kesejahteraan suaminya.

"Saya ucapkan terima kasih buat saudara yang tidak putus-putus mendoakan. Yang pasti, perjuangan kami belum dan tidak akan berhenti," kata Mulan lagi.

Ahmad Dhani yang juga pengasas dan ketua kumpulan Dewa 19 bakal mengadakan konsert reunion di Stadium Malawati, Shah Alam pada 2 Februari (Sabtu) ini.

Sekalipun ketiadaannya, 'Konsert DEWA19 Reunion Live in Malaysia feat.Ari Lasso & Once Mekel' tetap diteruskan.

BACA: Ahmad Dhani dihukum penjara 18 bulan, konsert Dewa 19