Keputusan akhir pemilihan menteri setiap kementerian akan diputuskan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad setelah menilai secara teliti kesemua calon-calon yang dikemuka setiap parti komponen Pakatan Harapan.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kesemua Kabinet asas 10 kementerian akan siap diumum minggu ini sebelum Kabinet penuh sebanyak 25 orang diumumkan.

“Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah sudah kemukakan cadangan nama calon, 10 calon walaupun saya hanya minta tiga nama.

“Kita akan beri keutamaan kepada tiga nama teratas.

“Selain itu parti Amanah turut mengemukakan tiga nama calon untuk dipertimbang ke dalam Kabinet,” kata beliau sewaktu sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana.

Tambah Dr Mahathir, keputusan akhir pelantikan tertakluk kepada kuasa Perdana Menteri.

Sementara itu Dr Mahathir berkata keputusan pelantikan Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan masih tertakluk kepada keputusan kes mahkamah beliau berhubung pembelian unit banglo di Pulau Pinang.

“Kita akan mengikut undang-undang, jika sesiapa didapati bersalah, mereka tidak boleh menjawat jawatan dalam Kabinet," katanya.

Setakat ini tiga menteri kanan sudah diumum iaitu Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri Pertahanan Mohd Sabu, dan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin, selain Timbalan Perdana Menteri Datin Seri Dr Wan Azizah.