BUKIT MERTAJAM: Sebanyak 12 bas ekspres disaman dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang kerana tidak menyediakan pemandu kedua bagi perjalanan melebihi 300 kilometer (km) atau perjalanan selama empat jam secara berterusan.

JPJ Pulau Pinang dalam kenyataan memaklumkan operasi yang menyasarkan bas ekspres itu berlangsung selama enam jam bermula 12 tengah malam tadi di dua lokasi iaitu Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Jambatan Sultan Abdul Halim Mua'zam Shah.

"Tujuan penguatkuasaan ini bagi memastikan semua kenderaan perkhidmatan awam terutamanya bas ekspres mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang ditetapkan.

"Ini termasuk memastikan bas dalam keadaan baik dan selamat digunakan, pemandu mempunyai lesen memandu dan lesen memandu kenderaan perkhidmatan awam (PSV) yang sah serta memastikan pengusaha bas menyediakan pemandu kedua bagi perjalanan bas jauh atau lama menerusi pemeriksaan buku log pemandu," menurut kenyataan itu hari ini.

Kenyataan itu memaklumkan tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap pemandu dan pemilik yang tidak mematuhi peraturan Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-kaedah di bawahnya serta Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

-- BERNAMA