BUKIT MERTAJAM: Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) akan menambah sebanyak 12 unit tren tiga gerabak pada 2025 untuk menambah baik perkhidmatan Komuter Utara bagi keselesaan para penumpang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin berkata inisiatif ini melibatkan pembelian tren baharu yang akan dilakukan oleh Kementerian Pengangkutan.

"KTM Komuter Utara mendapat sambungan hangat dalam kalangan penumpang. Segmen ini mempunyai dua jajaran iaitu Padang Besar-Butterworth yang paling digemari penumpang dan Butterworth-Padang Rengas.

"Set tren itu boleh disambungkan menjadi tren enam gerabak apabila berlaku permintaan tinggi," katanya dalam satu sidang media selepas pelancaran Pas Perjalanan Mingguan dan Bulanan KTMB Sektor Utara oleh Pengerusi KTMB Datuk Musa Sheikh Fadzir di sini hari ini.

Buat masa ini, Mohd Rani berkata KTM Komuter Utara beroperasi dengan enam set tren iaitu dua unit tren enam gerabak dan empat unit tren tiga gerabak, yang sebelum ini digunakan oleh syarikat itu dalam operasinya di Lembah Klang.

Mengulas mengenai majlis hari ini, Mohd Rani berkata pas perjalanan mingguan dan bulanan ini akan memberi penjimatan sehingga 33 peratus kepada penggunanya berbanding pembelian tiket harian.

"Pas ini diperkenalkan bagi laluan Butterworth-Padang Besar-Butterworth dan Padang Rengas-Butterworth-Padang Rengas, yang melibatkan 38 jumlah perkhidmatan sehari bagi laluan berkenaan.

Bagi menggalakkan penggunaan pas mingguan dan bulanan ini, KTM Komuter juga mengadakan Program Pemilihan Penumpang Bertuah bagi mereka yang mendapatkan pas bulanan terawal melalui dalam talian. Pemilihan dibuat berdasarkan rekod pembelian pengguna.

Pemilihan dan penyampaian hadiah akan dilaksanakan untuk tempoh empat bulan bermula Oktober 2022 hingga Januari 2023.

-- BERNAMA