BERA: Seramai 15.4 juta penduduk golongan B40 seluruh negara bakal menerima manfaat kemudahan Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) yang memperkasa kegiatan ekonomi digital khususnya kawasan di luar bandar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PEDi bertujuan meningkatkan tahap sosioekonomi komuniti setempat dan memberi pendedahan kepada kemahiran digital, tanpa mengira kedudukan sosial mahupun geografi.

Usaha ini akan merapatkan jurang digital serta mencetuskan inovasi digital yang boleh memacu negara membangunkan agenda ekonomi digital.

"Menyedari kemahiran penggunaan internet mampu membuka peluang ekonomi dan secara langsung meningkatkan taraf kehidupan, kerajaan menyediakan Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (atau PEDi) di seluruh negara.

"Ia bertujuan untuk memberi kemudahan kepada 15.4 juta orang penduduk negara ini, terutamanya golongan B40 dan masyarakat luar bandar, PEDi bermatlamat meningkatkan tahap sosioekonomi komuniti setempat dan memberi pendedahan kepada kemahiran digital agar semua penduduk, tanpa mengira kedudukan sosial mahupun geografi, berupaya menyertai dan mengambil peluang dalam ekonomi digital," kata Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan PEDi di Dewan Orang Ramai Kampung Durian Tawar, Bera, Pahang.

Bagi tujuan itu sebanyak 873 PEDi sedia ada akan dipertingkat dan dipergiatkan sebagai pusat sehenti untuk aktiviti ekonomi digital luar bandar selain menyediakan 12 perkhidmatan jalur lebar, kemudahan infrastruktur digital dan kakitangan terlatih.

Selain itu, sebanyak 37 PEDi baharu akan dibuka pada suku pertama 2022, sementara sebanyak 173 PEDi lagi beroperasi menjelang penghujung tahun depan; menjadikan sebanyak 1,083 PEDi beroperasi di seluruh negara.

Turut hadir; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.