Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerima 2.5 juta permohonan pembaharuan pasport secara purata setiap tahun dan jumlah itu dijangka terus meningkat, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali.

Beliau berkata berdasarkan rekod, dalam tempoh Januari hingga Mac tahun ini sahaja, lebih 542,000 pasport telah dikeluarkan JIM dengan 2,487 daripadanya dimohon secara dalam talian menggunakan sistem MyOnline Passport.

Justeru katanya rakyat negara ini digalakkan memperbaharui pasport mereka secara dalam talian menggunakan sistem berkenaan yang diperkenalkan sejak 1 Sept 2016.

"Pembaharuan melalui MyOnline Passport dilihat sebagai satu usaha JIM untuk mengatasi kesesakan orang ramai yang berurusan di kaunter pejabat imigresen di seluruh negara selain menambah baik sistem penyampaian dan perkhidmatan awam kepada pelanggan.

Pengguna boleh memperbaharui pasport mereka pada bila-bila masa dan mereka juga boleh memilih lokasi pejabat atau kaunter imigresen yang berdekatan untuk mengambil pasport tersebut dalam tempoh masa tidak sampai 10 minit," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Transformasi Bandar di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau turut melancarkan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) versi baharu JIM peringkat negeri yang turut dihadiri Timbalan Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pasport JIM Naeem Azmi Niaz Ahmad dan Pengarah JIM negeri Mohd Fauzi Abdullah.

Mengulas lanjut, Mustafar berkata berdasarkan rekod, jumlah pelanggan yang memperbaharui pasport mereka secara dalam talian menggunakan MyOnline Passport dilihat meningkat dari tahun ke tahun dan ia menunjukkan sistem berkenaan berjaya membantu memudahkan urusan itu.

Beliau berkata bermula dari 1 Sept hingga 31 Dis, 2016 sebanyak 2,231 pelanggan menggunakan sistem itu untuk memperbaharui pasport mereka manakala pada tahun lepas meningkat kepada 5,123 orang.

Sementara itu, katanya pemberian pas khas kepada seorang lelaki warga Syria yang terkandas lebih sebulan di terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di Sepang perlu dikaji secara terperinci mengikut prosedur operasi standard yang telah ditetapkan.

Katanya ia kerana isu berkenaan melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara bagi mengelak pelbagai kesan negatif termasuk lambakan gelandangan.

Semalam, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata Kementerian Dalam Negeri sedang mempertimbangkan untuk mengeluarkan pas khas melalui Program Penempatan Sementara Migran Syria (PPSMS) kepada lelaki warga Syria Hassan al Kontar, 36, yang mendakwa terkandas di KLIA2 sejak 7 Mac lepas.

-- BERNAMA