KUANTAN: Sejumlah 256 kes penderaan kanak-kanak direkodkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang  dalam tempoh hampir 10 bulan tahun ini.

Ketua Penolong Pengarah II JKM Pahang, Suryani Mohamad berkata, Kuantan mencatat kes tertinggi iaitu sebanyak 136 kes, diikuti Temerloh (35), Pekan (25), Maran (12), Bera (10), Jerantut (9), Raub (8), Lipis (7), Cameron Highlands (7) dan Bentong (4).

"Daripada jumlah itu kes penderaan seksual direkodkan 140 kes membabitkan kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah.

"Sebanyak 76 kes adalah penderaan fizikal, menyebabkan kecederaan anggota badan kanak-kanak sehingga terpaksa mendapat rawatan di hospital dan klinik kerajaan dan selebihnya iaitu sebanyak 40 kes membabitkan penderaan emosi kanak-kanak," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Kempen Membanteras Jenayah Seksual Dalam Talian Terhadap Kanak-kanak di sebuah pusat beli-belah di sini, pada Ahad.

Program berkenaan disertai lebih 100 kanak-kanak, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan masyarakat.

Jelas Suryani,  pelbagai faktor yang menyebabkan berlakunya kes penderaan terhadap kanak-kanak termasuk kesempitan hidup, sikap panas baran ahli keluarga dan tekanan.

"Jadi, kita memberi perhatian serius terhadap kes penderaan terhadap kanak-kanak, pelbagai usaha dilakukan bagi membendung perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

"Kesedaran sentiasa diberi dalam kalangan kanak-kanak supaya mereka dapat memberi kerjasama dengan memberi maklumat sekiranya didera oleh pihak tidak bertanggungjawab," ujarnya.

Tegas beliau, kerjasama daripada masyarakat termasuk guru juga amat diperlukan bagi membendung kes penderaan daripada terus berlaku.

"Salurkan maklumat kepada JKM daerah dan negeri selain terus kepada PDRM, jika mengetahui adanya kes penderaan," katanya.