Sebanyak 3,000 motosikal akan diedarkan kepada usahawan belia berpendapatan rendah di seluruh negara tahun ini bagi mengambil bahagian dalam konsep perniagaan Usahawan Bergerak (Mobilepreneur) yang diperkenalkan tahun lepas.

Jumlah itu meningkat lima kali ganda berbanding 500 motosikal yang diberikan pada 2016, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Peningkatan itu katanya susulan sambutan menggalakkan daripada usahawan tahun lalu terhadap konsep perniagaan baharu menggunakan motosikal itu.

Tambahnya, pemantauan akan dilakukan secara berterusan bagi memastikan usahawan terlibat berjaya dan tiada penyalahgunaan motosikal terjadi.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan motosikal Mobileprenuer kepada 17 penerima di Dewan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di sini hari ini.

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memperkenalkan konsep perniagaan tersebut pada 2016 dengan pemberian peruntukan percuma RM10,000 kepada golongan belia yang berminat menceburi bidang keusahawanan.

Ismail dilaporkan berkata, bagi tujuan itu, kementeriannya telah memperuntukkan RM2.3 juta kepada 230 usahawan muda pada 2016.

Katanya, perniagaan menerusi Mobilepreneur itu lebih mudah tanpa memerlukan modal besar untuk membuka premis perniagaan sekaligus mampu menjimatkan kos usahawan muda terlibat.