KUALA LUMPUR:Seramai 32,000 isi rumah miskin bandar di 67 lokasi Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerima manfaat menerusi inisiatif MyFood@Wilayah.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, inisiatif itu menyediakan bantuan bekalan makanan (bakul makanan) yang terdiri daripada barang keperluan harian asas bernilai RM50 seunit secara percuma dengan membabitkan peruntukan sebanyak RM1.6 juta.

Menurut beliau, pengagihan bakul makanan kepada kumpulan sasar itu dibuat secara berperingkat dengan kerjasama empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO), DBKL, Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) dan Persatuan Penduduk di setiap zon.

"Projek rintis MYFood@Wilayah yang dilancarkan hari ini selaras dengan Inisiatif Wilayah Cakna (IWC) di bawah Cakna Kemiskinan dalam agenda ‘Wilayah Persekutuan Wilayah Prihatin’ yang diperkenalkan kementerian bagi menyantuni keluarga berpendapatan rendah (B40) dan miskin bandar di WPKL.

"Selain itu, usaha itu bagi meringankan beban kos sara hidup golongan tersebut terutama sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) disebabkan pandemik COVID-19 selain menzahirkan keikhlasan daripada hati nurani warga KWP dan agensi kepada rakyat," katanya di sini pada Sabtu.

Terdahulu beliau hari melancarkan program berkenaan dan menyerahkan bantuan itu kepada seramai 706 penerima di PPR Kerinchi.

Dalam pada itu, Annuar berkata, pemberian bakul makanan itu diharap dapat memberikan kelegaan kepada ketua keluarga yang hilang punca pendapatan bagi membantu mereka menghadapi kesukaran dalam menghadapi wabak COVID-19. 

Katanya, kementerian serta diterajui agensi di bawahnya sentiasa mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan pelbagai inisiatif secara berterusan sebagai kelangsungan membantu golongan sasar yang memerlukan bantuan di Wilayah Persekutuan terutamanya di bawah program Kemiskinan Bandar iaitu lima inisiatif tambahan Wilayah Cakna seperti MYJob@Wilayah; MYMedic@Wilayah; MYSchoolBus@Wilayah; MYGrocer@Wilayah dan MYFood@Wilayah.

"Menerusi IWC 3.0, kementerian melalui DBKL dan Perbadanan Putrajaya (PPj) telah menyediakan bantuan Food Pack berbentuk baucar makanan kepada asnaf dan B40 bernilai RM100 untuk setiap isi rumah.

"Bantuan sebegini diteruskan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang memberi bantuan barang keperluan asas melalui Program JAWI Food Bank dan Program Dapur It’am," ujarnya.