Perodua baharu sahaja mengumumkan bahawa lebih daripada 33,000 tempahan sudah diterima untuk model Axia sejak dilancarkan 15 Ogos lepas. Dan daripada nombor itu, 7,000 unit sudahpun bertukar tangan kepada pemilik masing-masing.

Dalam pada itu, seperti yang dijangka oleh Perodua, model Axia gred Standard E mendapat perhatian lebih daripada, sebagai contoh, sekolah memandu. Dengan spesifikasi yang sangat ‘kos rendah’ hinggakan ‘central locking’ dan pemain audio pun tiada, harganya dapat diturunkan sehingga RM24,600 (di Semenanjung), dan menjadikan ia sesuai sebagai kereta syarikat.

Dalam hal berkaitan, Perodua sudahpun membuat penghantaran 11 unit Axia kepada Arinah Holdings (M) Sdn Bhd, sebuah sekolah memandu di negeri Terengganu. Bukan itu sahaja, Arinah Holdings sebenarnya telah membeli sejumlah 22 unit Perodua Axia untuk kegunaan syarikat, di mana kesemua penghantaran akan dibuat sebelum 2014 berakhir.

Majlis ringkas penyerahan Perodua Axia ini dilakukan oleh ketua pegawai operasi Perodua, Zahari Husin dan Mohd Nor Mohd Arifin, pengarah urusan Arinah Holdings.