IPOH: Empat individu yang maut dalam nahas tujuh kenderaan di  di Kilometer (KM) 277.1 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, di sini, pada petang Rabu, dikenal pasti sepasang suami isteri bersama dua anak perempuan.

Mereka adalah Rahim Ramli, 60, yang merupakan pesara polis; isterinya Siti Petimah Omar, 59; serta dua anak perempuan, Nor Nadirah, 28, dan Nor Hamizah, 27.

Difahamkan, ketika kejadian sekitar jam 3 petang itu, semua mereka yang menaiki kereta jenis Proton Persona dalam perjalanan dari Sungai Petani, Kedah ke Kuala Lumpur.

Anak saudara kepada Siti Petimah, Zuraiti Ismail, 43, berkata mereka dalam perjalanan untuk menghantar Nor Nadirah yang baru mendapat kerja di ibu negara.

BACA: Empat maut dalam kemalangan tujuh kenderaan

Menurutnya, keluarga berkenaan bertolak awal pada sebelah pagi dan kali terakhir dapat dihubungi sekitar jam 12 tengah hari ketika mereka berada berhampiran Alor Pongsu.

Zuraiti berkata beliau tidak menyangka kejadian nahas di Ipoh yang dilaporkan di media pada lewat petang Rabu itu melibatkan ahli keluarganya.

"Saya last berhubung dengan mak su itu rasa pukul 12  macam itu. Bila call dia, dia cakap ada dekat Alor Pongsu. Selalunya kami kalau balik, dia akan cakap kat sayalah, ‘hati-hati bawa kereta’.

"Tapi hari ini memang tak bagi pesanan pun, untuk dia nak balik. Kami kat belakang (menyusul) lepas Zohor kami keluar dari Pulau Pinang. Sampai dekat Bukit Gantang, saya call mereka, tapi semua tak jawab dah.

"Empat-empat orang itu, handset semua tak jawab. Dalam pukul 4 lebih, 5 macam itu kot, dapat berita daripada mak cik di Melaka kata mereka kemalangan, semua meninggal," katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, Rabu malam.

Dalam pada itu, dua lagi anak mangsa telah hadir bagi proses pengecaman dan tuntutan jenazah.

Kesemua jenazah empat beranak itu dibawa keluar kira-kira pukul 11.20 malam selepas bedah siasat selesai dan akan dikebumikan di Permatang Pasir, Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Kejadian di KM 277.1 PLUS itu membabitkan enam kereta dan sebuah treler.

Susulan kemalangan itu, empat mangsa dilaporkan tersepit sebelum berjaya dikeluarkan anggota bomba dan semua disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.