Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak D11, Bukit Aman merekodkan sebanyak 567 kanak-kanak hilang dari Januari hingga 31 Mei lalu.

Timbalan Pengarah Siasatan dan Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Law Hong Soon berkata, daripada jumlah itu seramai 374 kanak-kanak berjaya ditemui semula.

Beliau berkata, sebanyak 193 lagi kanak-kanak di seluruh negara masih hilang dan kini sedang dikesan.

Angka tersebut amat mengejutkan dan tinggi berbanding tahun lalu yang direkodkan sebanyak 1,782 kes sepanjang tahun.

Kebanyakan kes yang dilaporkan hilang ini berpunca daripada masalah keluarga dan terpengaruh dengan kawan baik.

Bagi mengatasi dan membantu kes kanak-kanak hilang, beberapa program diadakan seperti pelancaran portal kanak-kanak hilang yang diusahakan oleh badan bukan kerajaan (NGO).

“PDRM tidak putus-putus atau berhenti dalam berusaha mencari kaedah baharu dalam mengesan kanak-kanak hilang.

“Terdapat teknologi baharu (berkaitan aplikasi) yang boleh membuat pengecaman wajah,” ujarnya.

Tambahnya, dalam portal berkenaan, pihak polis mempunyai maklumat mengenai kanak-kanak yang hilang terutama sekali mereka yang di bawah umur 18 tahun ke bawah,” ujar Hong Soon.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan program Fun Run Portal Kanak-Kanak Hilang di Tasik Perdana petang tadi.