Selalunya, tambah baik dan ‘facelift’ pada mana-mana model kenderaan terhad kepada beberapa ubahsuai yang difikirkan lebih menepati citrasa pembeli. Namun, apabila Porsche semalam mengumumkan model Carrera 911 bagi tahun 2016, senarai ciri-ciri baharu pada model ikonik tersebut memang menyeluruh.

Paling mendapat perhatian – tetapi tidaklah begitu mengejutkan – adalah pengenalan teknologi dwi-turbo pada enjin 3.0-liter generasi terbaharu yang menghasilkan 370hp bagi Carrera dan 420hp bagi Carrera S. Ini adalah pertambahan 20hp berbanding sebelumnya.

* Porsche sudah lama menggunakan teknologi turbo bagi model biasa dan juga sukar bermotor. Tetapi ini adalah kali pertama turbo diperkenalkan kepada model legasi – 911 Carrera.



Tork juga tidak kurang hebatnya dengan pertambahan 60Nm (450Nm untuk Carrera, 500Nm untuk Carrera S) yang boleh dinikmati diantara 1,700rpm sehingga 5,000rpm. Kelajuan maksimum enjin 7,500rpm juga nampaknya tidak banyak menjejaskan perwatakan enjin boxer. Walaupun begitu, Porsche mendakwa bahawa enjin baharu ini juga adalah lebih cekap sebanyak 12%.

Kawalan mod pada stereng
Pilihan mod pemanduan bukanlah perkara baharu, tetapi Porsche memperkenalkan butang kawalan bagi pilihan mod-mod ‘Normal’, ‘Sport’ dan ‘Sport Plus’ terus di permukaan stereng. Ini adalah seperti yang dapat dilihat pada model 918 Spyder. Terdapat juga tambahan mod ‘Individual’ yang membolehkan pemandu memilih sendiri seting tersendiri daripada pilihan PASM, strategi penukaran gear PDK dan sistem ekzos.

Terdapat juga butang ‘Sport Response’ yang apabila ditekan akan optimumkan kereta tersebut bagi prestasi pecutan terbaik untuk tempoh 20 saat. Fungsi ini boleh digunakan, contohnya, ketika hendak memintas kereta di hadapan.

Casis
PASM (Porshe Active Suspension Management) dipasang standard bagi semua model Carrera sekarang, dan menurunkan kereta sebanyak 10mm, sekaligus memberi stabiliti tambahan ketika mengambil selekoh laju.

Bagi varian Carrera S, teknologi ‘rear axle steering’ yang membolehkan tayar belakang mengubah arah (dengan sudut terhad) menjadi antara pilihan yang boleh dilengkapkan sekali. Sebelum ini, ciri tersebut hanya dipasang pada varian 911 Turbo dan 911 GT3 (juga RS).

Gandar hadapan dipasang sistem hidraulik yang dapat meninggikan kereta sebanyak 40mm agar dapat melepasi keadaan jalan yang terlalu rendah. Contoh: bonggol jalan.

Ketersambungan
Kereta sukan seperti 911 Carrera juga menampilkan sistem audio dan ketersambungan yang begitu maju melalui sistem pengurusan komunikasi Porsche (PCM) yang dipasang standard di dalam semua model ini. Sekarang, skrin sentuh 7-inci yang ada turut menerima arahan sentuhan (multi touch gesture) sepertimana telefon pintar. Peranti komunikasi juga boleh disambungkan dengan isyarat WiFi.

Navigasi bukan sahaja terhad kepada GPS yang biasa, tetapi pengguna juga boleh melayari Google Earth ataupun Google Streetview buat pertama kali menerusi PCM yang diperbaharui ini.

Porsche 911 Carrera yang menerima tambah baik terbaharu ini akan dilancarkan di Jerman pada 12 Disember nanti dan dijual dengan harga bermula €96,605 termasuk cukai VAT (RM471,019 mengikut tukaran wang semasa).