Dari segi rupanya, Porsche 911 GT3 ini mungkin tidak kelihatan seperti harganya yang RM1.23 juta tu (harga permulaan), tetapi kalau dari prestasi, ia cukup menyentap selera seorang kaki trek. Kenapa pula tidak? Enjin boxer 6 silinder 3.8 liter di belakang pemandu itu boleh ditarik sehingga 9,000rpm.

Yang menariknya, puncak kuasa 468hp dan puncak tork 440Nm dicapai pada 8,250rpm dan 6,250rpm, jadi bila naik ke gear seterusnya, rpm enjin masih lagi tinggi untuk mengekalkan momentumnya. Cuma bagi pemandu yang hanya pandai menerima kotak gear manual, nasib malang bagi anda. Ini adalah kali pertama sebuah varian GT3 (sekarang generasi ke-5) hanya dibekalkan dengan transmisi automatik PDK 7-kelajuan.

Porsche 911 (991) GT3 terbaru ini dilancarkan oleh pengimport rasmi Sime Darby Auto Performance (SDAP) di Litar Sepang oleh Ketua Pegawai Eksekutif SDAP, Arnt Bayer. Turut hadir ialah pelumba-pelumba Porsche Carrera Cup Asia (PCCA) Earl Bamber dan warga Malaysia, Alif Hamdan.

911 GT3 memang direka sebagai antara kemuncak siri 911, dan oleh sebab itu ia lebih dikenali sebagai kereta trek yang boleh dipandu bagaikan kereta biasa. 0-100km/sj dicapai dalam masa 3.5 saat dan kelajuan maksima adalah 315km/sj. 0-200km/sj boleh dicapai sebelum 12 saat.

Seperti yang diberitahu, antara kelebihannya ialah enjinnya yang mampu untuk pergi ke 9,000rpm. Enjin yang turut digunapakai oleh 911 Carrera S ini dipasang dengan crankshaft dan gear injap yang direka khusus untuk varian ini. Selain daripada itu, piston tempaan dan connecting rod titanium juga digunakan. Usaha untuk mengurangkan berat telah menghasilkan enjin yang 20.5kg lebih ringan berbanding sebelumnya.

Transmisi PDKnya juga tidak seperti yang digunakan oleh 911 lain dengan tindakbalas yang kurang daripada 100 milisaat. Lebih istimewa adalah klacnya yang boleh di’neutralkan’. Ini dicapai dengan menarik kedua-dua pedal gear di stereng pada waktu sama.

Yang juga menarik pada GT3 baru ini adalah penggunaan Rear-Wheel Steering aktif yang sebelum ini juga dipasang pada siri 911 Turbo. Fungsi ini membolehkan kereta ini bagaikan mempunyai wheelbase yang boleh diubah-ubah; atau secara praktikalnya, roda belakang GT3 ini boleh berpusing sebanyak 1.5 darjah pada kedua-dua arah. Pada kelajuan bawah 50km/sj, roda belakang akan berpusing pada arah bertentangan, menjadikan pusingan dibuat secara lebih tajam (radius pusingan lebih tajam.)

Pada kelajuan atas 80km/sj, roda belakang berpusing pada arah sama dengan roda hadapan. Ini menambahkan stabiliti kereta terutamanya apabila memandu laju, sama ada di litar ataupun lebuhraya.

Bagaikan satu ritual untuk mereka, ujian masa di Nurburgring sudahpun dilakukan. Dan masa yang dicapai adalah 7 minit 25 saat, iaitu 15 saat lebih pantas daripada masa 7:40 saat yang dibuat model sebelumnya iaitu 911 (997) GT3. Perlukan perbandingan lain? Suatu masa dahulu pemandu terkenal Walter Rohrl pernah mencatat masa 7:28… tetapi menggunakan Carrera GT!
ModelPorsche 911 GT3
Enjin3,799cc, 6-silinder boxer, direct injection
Gear7-kelajuan PDK
PacuanRWD
Prestasi468bhp @ 8,250rpm, 440Nm @ 6,250rpm
Potensi0-100km/j @ 3.5 saat, Maksima 315km/sj
Berat1430kg
HargaRM1.23 juta (harga permulaan)