KUALA LUMPUR: Ahmad Fadhli Shaari hari ini menempelak Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin, yang menyindir kerajaan pimpinan Pas di Kelantan berhubung isu boikot produk syarikat yang menyokong Israel.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas itu, berkata tidak semua produk keluaran barat mampu diboikot sepenuhnya, dan keputusan memboikot dibuat atas kesedaran setiap individu.

"Dalam isu Palestin, dia (Zhemin) tanya kenapa Kerajaan Kelantan tak nak boikot  Mercedes Benz yang sokong Israel?

"Kita kata bahawa boikot ini kita buat dengan rasa hati kita dan dilaksanakan dengan kesedaran.

"Ada perkara yang kita tidak mampu nak boikot sebagai contoh penggunaan Iphone, Facebook dan sebagainya," katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 (Belanjawan 2024) peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Semalam, Zhemin mempersoalkan Kerajaan Kelantan yang masih menggunakan kereta mewah, Mercedes Benz yang turut menyumbang kepada ekonomi Israel.

Pada 2020, Kerajaan Kelantan mengakui membeli 14 kereta mewah Mercedes Benz untuk kenderaan rasmi pimpinan kerajaan negeri termasuk Menteri Besar dan exconya.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli menegaskan, Zhemin  tidak sepatutnya memperlekehkan inisiatif individu-individu yang mengambil pendirian untuk memboikot produk-produk tertentu.

"Jangan perlekehkan orang yang nak laksanakan boikot ini kepada barangan yang dikeluarkan syarikat-syarikat menyokong Israel.

"Kita boleh buat satu, kita buat satu... Tak boleh buat semua, jangan tinggal semua dan perlekehkan," ujar beliau.