Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Mohd Shukri Ramli yang sebelum ini ditempatkan di Unit Rawatan Koronori (CCU), Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar, kini dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

Ketua Penerangan PAS Perlis, Dr Saifizi Saidon dalam satu kenyataan hari ini berkata, Mohd Shukri yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis dipindahkan untuk rawatan lanjut kira-kira 2 petang tadi.

"Mohd Shukri diletakkan di bawah pemerhatian rapi doktor dan hanya keluarga terdekat sahaja yang dibenarkan melawat," katanya.

Saifizi turut menyeru agar semua pihak terus mengadakan solat hajat serta mendoakan kesihatan beliau.

Pada Ahad lepas, Mohd Shukri rebah dan tidak sedarkan diri ketika berucap pada Ceramah Perdana Muafakat Nasional peringkat negeri Perlis di Dewan 2020 di sini.


Sementara itu, Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin ketika ditemui media berkata beliau mengucapkan ribuan terima kasih atas rawatan terbaik diberikan oleh HTF.

"Setakat ini, Mohd Shukri masih dalam keadaan seperti semalam (keadaan kritikal), namun nampak ada perkembangan positif," katanya. - BERNAMA