PENGURUS Mesir, Ehab Galal, mendedahkan bahawa bintang Liverpool, Mohamed Salah, telah bermain dalam kecederaan ketika negaranya meraih kemenangan 1-0 ke atas Guinea, semalam.

Salah beraksi sepanjang perlawanan kelayakan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) itu yang menyaksikan The Pharaohs menang menerusi gol lewat Mostafa Mohamed.

Selepas perlawanan pertamanya mengendalikan Mesir sejak mengambil alih daripada Carlos Queiroz, Galal menjelaskan Liverpool pernah meminta Salah menjalani x-ray terlebih dahulu sebaliknya pemain itu sendiri yang menolaknya.

"Salah mengalami kecederaan dan menanggungnya ketika beraksi," katanya kepada KingFut.

"Dia menolak permintaan Liverpool untuk menjalani x-ray sebelum perlawanan ini dan sekarang dia akan menjalaninya."

Mesir akan menentang Ethiopia (Jumaat ini) dalam satu lagi perlawanan kelayakan AFCON sebelum mengadakan perlawanan persahabatan menentang Korea Selatan, Selasa depan.