SHAH ALAM: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dimaklumkan bahawa Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dijadualkan membayar balik pinjaman kepada kerajaan negeri sebanyak RM248.7 juta bermula 2031.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata pembayaran balik pinjaman itu dijadualkan selama 20 tahun yang dimulakan selepas tempoh 10 tahun dari tarikh permulaan pengeluaran pertama pembiayaan oleh kerajaan negeri.

Amirudin berkata pinjaman berkenaan melibatkan pelaksanaan projek penggantian paip air lama di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Selaras dengan terma dan syarat yang dipersetujui sebelum ini, pinjaman itu dijadualkan untuk dibayar balik secara ansuran selama 20 tahun dan hanya dimulakan selepas tempoh 10 tahun dari tarikh permulaan pengeluaran pertama pembiayaan.

"Jadual bayaran balik akan dikutip mulai 2031 hingga 2046 dengan jumlah ansuran pertama yang perlu dilunaskan ialah RM7.175 juta bermula 2031, dan seterusnya sebanyak RM12.435 juta setahun dari 2032 hingga 2046," katanya.

Amirudin menjawab pertanyaan Datuk Harrison Hassan (PN-Jeram) yang merujuk Laporan Ketua Audit Negara yang dibentangkan di Parlimen pada 10 Okt 2023, berhubung tindakan kerajaan negeri dalam mendapatkan semula bayaran pinjaman daripada Air Selangor berjumlah RM248.7 juta.

-- BERNAMA