Pelbagai pengalaman yang menjentik naluri keinsanan telah dilalui wartawan Astro AWANI, Hilal Azmi, yang kini masih berada di Kelantan untuk menyampaikan laporan mengenai keadaan mangsa banjir yang melanda banyak kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Kisah yang disampaikan ini diharapkan dapat membuka naluri kita semua tentang pengorbanan dan kasih sayang, bukan sahaja sesama manusia, malah antara setiap makhluk yang selama ini hidup berkongsi ruang.

Berikut adalah catatan Hilal Azmi di lokasi:

Ketika saya tiba di Kampung Manek Urai Lama, Kuala Krai, saya amat terkejut dengan pemandangan yang terpampang di depan mata. Suasananya begitu menyayat hati.

Segala-galanya menterjemah makna kemusnahan. Keadaan sekitar kawasan itu seperti dibadai ombak besar yang menghancurkan segala bentuk bangunan mahupun rumah kediaman.

Jika adapun binaan yang masih bertahan di tapaknya, rupanya langsung tidak seperti asal.

Usaha untuk mendekati kampung itu tidak juga mudah. Hujan renyai-renyai ketika itu menjadikan laluan krew Astro AWANI dipenuhi lumpur.

Risiko kecederaan juga menunggu sesiapa sahaja lantaran kebanyakan bahagian kayu dari rumah yang musnah turut mendedahkan paku. Tersilap langkah, bimbang juga tertusuk ke kaki.

Dalam mengatur langkah dengan berhati-hati, saya ternampak seekor anak kucing yang basah dan menggigil kesejukan.

Dalam keadaan hujan renyai ketika itu, ramai mangsa banjir mula keluar dari lokasi mereka berlindung daripada kesan bencana itu sejak hampir seminggu lalu.

Sejurus kemudian dari satu sudut, muncul seorang kanak-kanak bersama seorang wanita yang saya teka sebagai ibunya. Dengan perlahan mereka meredah laluan yang selamat untuk berpijak.

Namun apabila ternampak saja kucing tersebut, kanak-kanak itu dengan riak muka lega segera mendapatkan haiwan berkenaan.

“Gegurl! Gegurl!" kata budak lelaki tersebut, lalu mendukung seterusnya mengusap ulang kucing kesayangannya.

Dia kelihatan gembira dan tersenyum. Mungkin itu senyuman pertamanya selepas dihimpit perasaan resah berhari-hari.

Saya cuba mendekati budak lelaki tersebut yang saya kira sekitar usia lapan tahun.

Dia yang kelihatan comot dengan palitan lumpur di tubuh dan pakaiannya tidak putus-putus tersenyum, seolah-olah sedang berkomunikasi dengan kucing berkenaan yang terlentok dalam dakapannya.

Keadaan kucing itu kuyup dan menggigil. Ada tanda-tanda tekanan pada kucing terbabit yang saya bayangkan sudah lebih tiga hari tidak makan.

"Nama adik siapa?" Soal saya pada budak itu.

"Aizat!" Jawabnya sambil tersengih dengan gaya bangga.

"Dio carik lamo doh... ni kucin tu baru tubik dari celoh kayu... Tu pasa la dia cepat-cepat jerit (Sudah lama dia cari.. kucing ini baru keluar dari celah kayu. Itu pasal dia cepat-cepat jerit)," terang wanita yang bersama Aizat itu kepada saya.

"Jale molek deh... jago kucin tu elok-elok," pesan saya dalam loghat Kelantan kepadanya.

Aizat mengangguk dan terus berlalu kerana dia ada tanggungjawab untuk dilunaskan kepada kucing tersebut.

Insiden itu membuatkan saya terfikir tentang sesuatu. Tentang kemuliaan hatinya walau diri sendiri ditimpa kesusahan. Dan tentang bersihnya hati seorang kanak-kanak walau tubuhnya terpalit kotor lumpur.

Hati saya berbisik, ‘sedangkan kanak-kanak tahu erti kasih sayang sesama makhluk, mengapa kita yang dewasa berbalah sesama manusia tatkala bencana melanda saudara kita di sini?’.

Banjir di Pantai Timur bukan sahaja memusnahkan harta benda dan mengorbankan nyawa manusia. Banyak haiwan ternakan dan peliharaan juga menjadi mangsa dalam bencana ini.

Sejauh mana kita manusia mampu bersatu hati untuk mengembalikan keadaan seperti asal?