KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengambil kira pelbagai perkara sebelum membuat keputusan berhubung perubahan, pemansuhan atau penambahbaikan dasar kerajaan dan perundangan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan kepada Dewan Rakyat, proses sewajarnya perlu dilakukan dan sebarang cadangan berkaitan hal terbabit akan dibawa melalui proses biasa.

"Di peringkat kita, apabila berbincang mengenai dasar dan perundangan sedia ada, memang kita kena ambil kira banyak perkara dan sudah pasti apa yang dicadangkan itu akan kita bawa melalui proses yang biasa.

"Ia perlu mendapatkan input daripada semua pihak berkepentingan sama ada ia perlu dikaji, dimansuh atau ditambah baik. Itu bergantung kepada apa (hasil) penemuan melalui libat urus dengan pihak terbabit," katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Indera Mahkota Datuk Seri Saifuddin Abdullah pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri pada Selasa.

Dalam soalan tambahannya, Saifuddin meminta penjelasan sama ada kerajaan akan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).

Menjawab soalan asal Saifuddin adakah kerajaan akan mencadangkan proses perundingan yang inklusif bagi melaksanakan agenda reformasi terhadap sistem dan institusi negara, Fadillah berkata, Kerajaan Perpaduan memandang serius agenda reformasi institusi dan akan mengambil tindakan yang tuntas bagi merealisasikannya.

Sidang Dewan Rakyat | Pemansuhan dasar kerajaan perlu lalui proses sewajarnya

Katanya, kerajaan akan memastikan sebarang reformasi yang dilaksanakan, mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan.

"Untuk makluman ahli Yang Berhormat, secara keseluruhannya dan untuk memastikan pelaksanaan inisiatif reformasi institusi yang komprehensif, Pasukan Khas mengenai Reformasi Institusi yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) ditubuhkan pada Januari 2023.

"Ia bagi meneliti, mengkaji dan mencadangkan reformasi institusi termasuk mekanisme pelaksanaan reformasi ini bagi pertimbangan Jemaah Menteri.

"Bengkel Reformasi Institusi diadakan pada 17 Januari 2023 membabitkan agensi kerajaan dan kumpulan organisasi masyarakat sivil (CSO) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memberi fokus kepada reformasi perundangan dan institusi negara," katanya.

Katanya, siri libat urus bersama kementerian, jabatan dan agensi berkepentingan akan diteruskan bagi memuktamadkan cadangan reformasi institusi yang ingin dilaksanakan sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

Menjawab soalan tambahan M Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) sama ada kerajaan sedia mempertimbang satu lagi jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang, Fadillah berkata, perkara itu pernah dibincangkan dalam kerajaan terdahulu namun tidak dapat dilaksanakan.

"Malah mesyuarat Ketua Whip kerajaan dan pembangkang, speaker sendiri sudah berbincang perihal ini tetapi ia perlu melalui proses.

"Maknanya perbincangan di peringkat pemegang taruh dan akhirnya dibawa ke Kabinet untuk diperincikan dan dipertimbangkan. Jadi arah tujunya akan diumumkan apa sahaja persetujuan itu nanti," katanya.