SETIAUSAHA Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa sangat aktif di Twitter hari ini.

Selepas membuat posting keluar pasukan kerana kecewa dengan kekalahan Manchester United kepada Liverpool, Annuar dikatakan mempertahankan tindakan lawannya dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar.

Peletakan jawatan Nurul Izzah sebagai Naib Presiden PKR mendapat reaksi Annuar yang mempersoalkan tindakan sesetengah individu yang seakan-akan mendiskriminasi tindakan beliau.

Menerusi postingnya di Twitter, Annuar mengakui beliau tidak faham di mana wujudnya unsur nepotisme dalam pelatikan Nurul Izzah sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Pulau Pinang.

Ini kerana bagi Annuar, Nurul Izzah menang Pilihan Raya Umum (PRU) dan dipilih sebagai sebagai Ahli Parlimen oleh rakyat dan juga menang dipilih sebagai Naib Presiden oleh ahli-ahli PKR, sepatutnya beliau berhak menjaga amanah negeri.

"Saya tak faham apa itu nepotism?...kalau dah menang dipilih sbg MP oleh rakyat, menang dipilih jadi Naib Presiden oleh Ahli, tak kan tak boleh diberi amanah jaga negeri...kenapa harus didiskriminasikan dia?" kata Annuar pada sebuah postingnya di Twitter hari ini (Isnin).


Nurul Izzah mengumumkan meletak jawatan Naib Presiden PKR dan turut melepaskan jawatan Pengerusi PKR Pulau Pinang.

BACA: 'Saya tidak tahu mengapa Nurul Izzah letak jawatan' - Tun M

VIDEO: 'Saya akan cuba bercakap dengan Nurul Izzah' - Azmin Ali

Sementara itu, Annuar yang pernah memegang jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) juga meluahkan rasa kecewanya kekalahan Manchester United kepada Liverpool pada Ahad.


Dalam tweet tersebut, Annuar mengumumkan beliau dan keluarga tidak akan menyokong lagi pasukan The Red Devils itu selepas menimbang dari semua sudut dan perkembangan semasa pasukan itu.

"Keputusan dibuat dengan rela kerana hilang keyakinan dengan pembimbing pasukan yang nyata tiada halatuju," kata Annuar di Twitter sambil meletakkan ikon ketawa di hujung postingnya.

BACA: Liverpool lebih hebat daripada Manchester United musim ini

Annuar seperti penyokong-penyokong United yang lain tidak dapat menerima kekalahan kepada seteru utama mereka, Liverpool dengan gagal memberi sebarang tentangan.