Skip to main content

Malaysia

Anwar, Putin bincang keterjaminan bekalan tenaga, perdagangan dalam mata wang tempatan

KAZAN, June 18 -- Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim (left) shakes hands with Russian President Vladimir Putin before the ASEAN-Russia Commemorative Summit Gala Dinner at the Gallery Area of the Tatar State Academic Theatre today.  --fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RESERVED
Perdana Menteri Anwar Ibrahim (kiri) dan Presiden Vladimir Putin membincangkan pelbagai aspek kerjasama dua hala, termasuk potensi memperkukuh hubungan dalam sektor tenaga yang merupakan antara bidang strategik bagi kedua-dua negara. - Gambar Bernama

KAZAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Rusia, Vladimir Putin membincangkan pelbagai aspek kerjasama dua hala, termasuk potensi memperkukuh hubungan dalam sektor tenaga yang merupakan antara bidang strategik bagi kedua-dua negara.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas pertemuan kedua-dua pemimpin itu, Pejabat Perdana Menteri menjelaskan, Anwar dan Putin turut menyentuh usaha memperluas kerjasama ekonomi termasuk menghargai ketetapan Rusia memberikan kerjasama jangka panjang dalam aspek bekalan tenaga dan minyak.

“Mereka juga bertukar pandangan mengenai peluang memperkukuh kerjasama dalam bidang teknologi baharu, keselamatan siber, digital, kecerdasan buatan (AI), pertanian moden dan farmaseutikal,” jelas kenyataan itu.

Perbincangan kedua-dua pemimpin itu juga meliputi usaha memudah cara pergerakan rakyat melalui pemansuhan visa, serta penerokaan mekanisme bagi memperluas perdagangan dan pelaburan dua hala menggunakan mata wang tempatan iaitu ringgit dan ruble.

“Kerajaan MADANI akan terus mengambil langkah strategik dan proaktif bagi memperkukuh keterjaminan tenaga negara, termasuk melalui kerjasama antarabangsa yang mampu menjamin kestabilan, kesinambungan dan daya tahan bekalan tenaga demi kepentingan rakyat serta kemakmuran negara,” menurut Pejabat Perdana Menteri.

Anwar yang juga Menteri Kewangan kini berada di Kazan, ibu kota dan bandar terbesar Tatarstan, Rusia untuk menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia dari 17 hingga 18 Jun.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement