KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menetapkan arahan tambahan dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) kepada semua pengendali vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) AstraZeneca.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, ia sebagai langkah memastikan kualiti pengendalian vaksin AstraZeneca untuk COVID-19 berada pada tahap optimum.

Dr Adham menjelaskan, arahan tambahan dalam SOP berkenaan ialah penyuntik vaksin perlu menunjukkan jarum suntikan yang telah diisi dengan vaksin mengikut kuantiti yang ditetapkan kepada penerima vaksin, sebelum melakukan suntikan.

Selain itu, penyuntik vaksin juga perlu menunjukkan jarum suntikan yang telah dikosongkan kepada penerima vaksin selepas suntikan dilakukan.

"Penambahbaikan dalam SOP pemberian vaksin ini akan diperluaskan ke semua PPV yang lain. Dalam masa sama, pemantauan rapi terutamanya di PPV akan dipertingkatkan bagi memastikan SOP dipatuhi sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin. 

BACA: CITF siasat dakwaan pemberian vaksin AstraZeneca kurang dos

Arahan baharu itu susulan dakwaan insiden pemberian dos yang kurang daripada sepatutnya bagi vaksin AstraZeneca untuk pencegahan COVID-19 di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), yang mula tular di media sosial bermula 20 Mei lalu.

Sehubungan itu, KKM dan ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) sedang melakukan siasatan lanjut mengenai perkara ini.