NATIONAL
ASEAN perlu perkukuh integrasi ekonomi dalam mendepani risiko global - Mohamad

Mohamad (enam dari kiri) bergambar bersama Menteri-Menteri Luar ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan GCC di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada Ahad. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: ASEAN perlu memperdalam integrasi ekonomi serantau agar dapat memperkukuh ketahanan rantau ini terhadap sebarang kejutan luar.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, blok ini juga perlu terus memainkan peranan yang aktif dalam mendepani dan menempuh tempoh yang mencabar secara kolektif.
“Persaingan antara kuasa besar dan perubahan dalam susun atur geopolitik global berpotensi menjejaskan kestabilan rantau kita.
“Kini, negara-negara ASEAN antara yang paling terkesan akibat pengenaan tarif oleh Amerika Syarikat.“Perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China telah mengganggu corak pengeluaran dan perdagangan global secara ketara,” katanya.
Mohamad berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan pembukaan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, pada Ahad.
Selain itu, Mohamad berkata, blok serantau ini perlu memperkukuhkan mekanisme sebagai usaha memudahkan perdagangan intra ASEAN.
“Dengan menyesuaikan mekanisme tersebut berdasarkan kekuatan masing-masing, ASEAN dapat mengurangkan ketidakseimbangan pertumbuhan ekonomi dalam kalangan negara anggota.
“Kepelbagaian dalam hubungan kerjasama luar juga penting untuk membolehkan ASEAN menangani kejutan ekonomi luaran yang mendatang.
“Kita mesti bertindak secara bersama dalam menghadapi gangguan perdagangan global yang berpotensi berlaku, dengan berpandukan perpaduan dan solidariti sebagai satu komuniti ASEAN,” tambah beliau.
Jelas Mohamad lagi, ASEAN juga tidak boleh mengabaikan realiti jurang pendapatan yang semakin melebar dalam blok ini dan ia perlu dijadikan keutamaan.
Ini kerana, usaha kolektif ini akan membolehkan ASEAN berupaya mengharungi cabaran, meminimumkan kesannya kepada rakyat dan terus berkembang secara mampan dengan pendekatan yang berwawasan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami