NATIONAL
ASEAN perlu perkukuh kesatuan hadapi tekanan kuasa besar - Mohamad

Mohamad menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada Ahad. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, ASEAN perlu memperkukuh prinsip kesatuan dan kepusatan serantau dalam mendepani tekanan geopolitik dan ekonomi yang semakin memuncak dari luar.
Menurutnya, Asia Tenggara kini berada di tengah-tengah pertembungan kepentingan kuasa-kuasa besar dunia dalam bidang politik, keselamatan dan ekonomi, menjadikan rantau ini medan persaingan strategik yang semakin rumit.
“Tekanan dari luar semakin meningkat, dan cabaran yang kita hadapi kini lebih kompleks dan mendalam.
“Prinsip kepusatan ASEAN merupakan kompas utama dalam kita berinteraksi dengan dunia luar dan mengemudi cabaran hubungan antarabangsa.“Kita mesti kekal menjadi peneraju utama kepada kestabilan serantau. Hanya ASEAN mampu bersuara bagi pihak Asia Tenggara,” katanya.
Mohamad berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan pembukaan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, pada Ahad.
Selain itu, Mohamad turut menyeru ASEAN agar kekal tampil sebagai blok yang mengutamakan dialog, kerjasama multilateralisme.
“Dalam dunia yang semakin berpecah, ASEAN mesti menunjukkan jalan berbeza, berasaskan dialog, kerjasama dan multilateralisme.
“Kita perlu menilai bagaimana ASEAN boleh menyumbang secara konstruktif dan positif kepada perkembangan global.
“Ini termasuk menyuarakan pendirian yang tegas dan bersatu dalam isu-isu keamanan, keadilan, kesaksamaan, kemanusiaan dan kedaulatan undang-undang antarabangsa,” katanya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami