LONDON: AstraZeneca, syarikat senaraian terbesar di London, sedang mengkaji rancangan untuk menjadikan perniagaan Chinanya sebagai syarikat persendirian bagi melindunginya daripada ketegangan geopolitik, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Financial Times yang memetik sumber melaporkan gergasi ubat-ubatan Britain-Sweden itu telah berbincang dengan pihak bank sejak beberapa bulan.

Bagaimana[u, AstraZeneca yang dihubungi oleh agensi berita PA, enggan mengulas mengenai laporan itu.

Pelan itu akan memisahkan operasi China Astra kepada syarikat berasingan yang sahamnya akan didagangkan di bursa saham Hong Kong atau Shanghai.

Astra akan mengekalkan kawalan ke atas perniagaan itu.

Langkah itu diambil di tengah-tengah ketegangan geopolitik yang semakin meningkat antara negara-negara Barat, termasuk Amerika Syarikat (AS) dan kebanyakan negara Eropah serta China.

Dengan memisahkan cabang perniagaan, syarikat itu berharap dilindungi dengan lebih baik daripada tindak balas politik dari Beijing terhadap syarikat asing.

Ia juga boleh memberikan jaminan kepada pelabur di Barat bahawa mereka tidak terlalu terdedah kepada China, lapor FT.

Selain AS, Jepun, Jerman dan Perancis, China adalah antara lima pasaran farmaseutikal terbesar di dunia.

Dalam laporan tahunan tahun lepas, syarikat itu memberi amaran bahawa "dalam tempoh dua dekad akan datang, persekitaran geopolitik dijangka berubah dan berpotensi mencapai tahap yang tidak dilihat sejak Perang Dingin".

AstraZeneca ialah syarikat terbesar yang sahamnya didagangkan di London dan terkenal atas hasil pembangunan vaksin COVID-19 bersama para penyelidik di Universiti Oxford.

Nilai pasarannya kini kira-kira GBP182 bilion (US$233 bilion) yang meletakkannya di hadapan Shell, bernilai GBP158 bilion dan HSBC, bernilai GBP122 bilion.

Syarikat itu mempunyai pejabat penyelidikan dan pembangunan di Shanghai dan menggaji 16,500 pekerja di China, lebih ramai berbanding negara lain selain AS. Ia memperoleh anggaran pendapatan US$5.7 bilion di negara ini tahun lepas.

-- BERNAMA