Angkatan Tentera Malaysia (ATM) gagal mengutip tiga mata penuh setelah seri 2-2 dengan pasukan Johor Darul Takzim pada saingan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.

ATM membuka jaringan seawal minit ketujuh menerusi jaringan Amirizwan Taj Tajuddin sebelum pemain import Johor Darul Takzim, yang juga bekas pemain antarabangsa Sepanyol, Daniel Guiza menyamakan kedudukan pada minit ke-17.

Kelekaan barisan pertahanan Johor Darul Takzim membuka peluang kepada pemain tengah ATM, Irwan Fadzli Idrus mengandakan jaringan pada minit ke-38, namun Johor Darul Takzim bangkit menyamakan kedudukan menerusi Norshahrul Idlan Talaha selang dua minit kemudian.

Di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelantan gagal mengutip mata penuh penuh apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan Felda United FC.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, pasukan Selangor PKNS mengalahkan T-Team 3-0.

Gol pasukan pelawat dijaringkan oleh Mohd Fauzan Dzulkifli pada minit ke-14, Patrick Ronaldinho (minit ke-21) dan Muhammad Fakhrul Aiman Sidi pada minit ke-71.

Dalam saingan Liga Perdana, Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus memperkukuhkan kedudukan dengan mengumpul 12 mata setelah mencatat kemenangan 2-0 ke atas UiTM FC di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Kesilapan pemain UiTM, Muhammad Nazmi Baharom mengundang padah apabila beliau menjaringkan gol sendiri pada minit ke-28 sebelum PDRM menambah gol kedua menerusi Kaye Indraser pada minit ke-77.

Di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, pasukan tuan rumah Kuala Lumpur memperolehi kemenangan pertama apabila menang tipis 3-2 ke atas Sabah.

Gol kemenangan Kuala Lumpur dihasilkan oleh Badrul Hisyam Azmi pada minit ke-89, iaitu gol peribadi kedua selepas minit ke-62 dan Khairul Anuar Shafie pada minit ke-37.

Sebelum itu, Sabah membuka tirai jaringan seawal minit keempat menerusi Rosdin Wasli dan Alto Linus pada minit ke-70.

Di Stadium Negeri Sarawak, Kuching, Sarawak mengalahkan Pos Malaysia 2-0, hasil jaringan Ivan Babic pada minit ke-62 dan Azizan Saperi pada minit ke-65.

Di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah mengalahkan Johor 2-1.

Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Sime Darby mengalahkan SPA Putrajaya 2-1 manakala pasukan tercorot Betaria pula seri 1-1 ke atas Perlis di Stadium Hang Tuah, Melaka.