KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mula melaksanakan bajet mengikut keperluan jantina bermula dengan Kementeri Luar pada tahun 2023.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, ini bagi memastikan keutamaan diberikan kepada golongan rentan terutamanya kanak-kanak, wanita, Orang Asli dan warga emas.

“Kami akan mengutamakan kumpulan yang rentan terutamanya kanak-kanak, wanita, Orang Asli dan warga emas. Pada akhirnya, kerajaan akan melaksanakan dasar yang akan lebih mempromosi dan melindungi hak mereka.

"Khusus untuk wanita dalam untuk mempromosikan Dasar Luar Feminis, kami akan melaksanakan penyediaan bajet mengikut keperluan jantina bermula dengan Kementerian Luar pada 2023," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media secara maya susulan Malaysia memenangi kerusi Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi penggal 2022-2024, pada Jumaat.

Terdahulu, Malaysia telah memenangi pengundian negara-negara untuk menduduki 1/18 kerusi dengan 183 undian pada Majlis Hak Asasi Manusia PBB bagi penggal 2022-2024.

BACA: Malaysia diundi duduki kerusi Majlis Hak Asasi Manusia PBB penggal 2022-2024

Ini merupakan kali ketiga Malaysia terpilih menduduki kerusi tersebut yang mana kali pertama adalah pada tahun 2006 hingga 2009 dan seterusnya untuk penggal 2010 hingga 2013.

Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin berkata, kerajaan akan terus memperkasakan anak muda bagi memastikan golongan itu memainkan peranan lebih besar dalam proses membuat keputusan di semua sektor.

“Bagi orang muda kita akan memperkasakan belia agar anak muda mempunyai peranan lebih besar dalam konsensus membuat keputusan dalam negara di semua sektor. Dengan ini, kami akan meneruskan Pasukan Petugas Khas Belia sedia ada yang dipantau Kementerian untuk membantu penyertaan belia dalam pelbagai forum antarabangsa.

“Kami percaya bahawa penyertaan mereka tidak boleh terhad kepada sektor belia konvensional atau pembangunan belia, tetapi lebih tepat lagi untuk menghadapi isu-isu yang dekat dengan belia seperti perubahan iklim, ekonomi digital dan keselamatan siber.

Dalam masa yang sama, Saifuddin berkata, Malaysia komited untuk melaksanakan tanggungjawabnya, termasuk kewajiban pelaporan, di bawah Konvensyen Hak Asasi Manusia yang telah disertai seperti Konvensyen Hak Kanak-kanak (CRC), Konvensyen Penghapusan Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) dan Konvensyen mengenai Hak Orang dengan Kurang Upaya (CRPD).

Tambah beliau, kesemua instrumen hak asasi manusia antarabangsa akan diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia bagi meningkatkan lagi kesedaran dalam kalangan masyarakat.

Ini ditambah dengan peningkatan usaha mempromosikan persekitara selamat, bersih, sihat dan lestari bagi meningkatkan pemahaman tentang kesan perubahan iklim terhadap alam sekitar.