Hujan lebat berterusan sejak malam tadi menyebabkan beberapa kawasan rendah di Kuala Krai, Dabong dan Tanah Merah dinaiki air.

Difahamkan beberapa penduduk di Chucuh Puteri, Kuala Krai sudah dipindahkan namun sehingga kini belum diketahui berapa jumlahnya.

Difahamkan beberapa penduduk di Chucuh Puteri, Kuala Krai sudah dipindahkan namun sehingga kini belum diketahui berapa jumlahnya.

Beberapa jalan juga mula dinaiki air dan tidak boleh dilalui antaranya jalan bawah jambatan keretapi berdekatan tasik Kuala Krai menyebabkan jalan menjadi satu lorong.

Hujan lebat sejak malam tadi menyebabkan beberapa kawasan di Kuala Krai mula dinaiki air

Sementara itu Bernama melaporkan Tiga sungai utama di Kelantan mencatatkan paras berjaga-jaga sehingga pukul 10 pagi ini berikutan hujan lebat yang melanda kawasan hulu Kelantan sejak semalam.

Menurut laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di http://infobanjir.water.gov.my/, Sungai Galas di Dabong berada di paras 34.15 meter berbanding paras berjaga-jaga 32.00 meter.

Selain itu, Sungai Lebir di Tualang pula berada di paras 27.90 meter (paras berjaga-jaga 27 meter) dan Sungai Kelantan di Tangga Krai pula adalah 20.02 meter (paras berjaga-jaga 20 meter).

Wartawan Astro AWANI di Kelantan, Muhafandi Muhamad, kini memantau situasi di kawasan terjejas:





Sementara itu Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan menangguhkan hari pertama sesi persekolahan 2017 bagi 13 sekolah rendah dan dua sekolah menengah di daerah Kuala Krai, Tanah Merah dan Jeli esok berikutan laluan ke sekolah terbabit ditenggelami banjir.

Pengarahnya Jaafar Ismail berkata jumlah itu merangkumi lapan sekolah di daerah Kuala Krai, lima sekolah di daerah Tanah Merah dan dua sekolah daerah Jeli.