KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjaya memulihkan sepenuhnya bekalan elektrik di semua kawasan yang mengalami gangguan pada jam 3:02 petang.

Menerusi satu kenyataan pada Rabu, TNB mendapati gangguan bermula pada jam 12.39 tengah hari itu berpunca daripada kerosakan salah satu peralatan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng North di Yong Peng, Johor.

Menurutnya, kerosakan itu mengakibatkan kehilangan beban sebanyak 2.2GW (Gigawatt) yang merupakan 10 peratus daripada keseluruhan permintaan bekalan di Semenanjung Malaysia.

BACA: Gangguan bekalan elektrik besar-besaran di Lembah Klang, beberapa negeri

BACA: Gangguan bekalan elektrik: Libatkan 2.2GW, 10 peratus keseluruhan bekalan - TNB


Begitupun, katanya, kebanyakan kawasan terjejas berjaya dipulihkan secara berperingkat seawal 20 minit selepas gangguan berlaku hasil usaha berterusan Pasukan Teknikal TNB.

“Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami oleh pengguna semasa gangguan bekalan ini.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai gangguan bekalan, pengguna boleh menghubungi talian TNB Careline di 15454,” katanya menerusi kenyataan tersebut.

[TERKINI] Gangguan bekalan elektrik di Lembah Klang

Terdahulu, Astro AWANI melaporkan bekalan elektrik di beberapa kawasan di Lembah Klang dilapor terputus ketika ini.

Antara kawasan yang dipercayai terjejas adalah Bangi, Serdang, Ampang, Shah Alam, Subang, pusat bandaraya Kuala Lumpur dan beberapa negeri di Semenanjung Malaysia termasuk Kedah, Negeri Sembilan dan Kuantan.