ALOR SETAR:Ahli Parlimen kerajaan atau pembangkang bebas untuk membahaskan Belanjawan 2021 di Parlimen, jika mempunyai sebarang pertikaian termasuk mengenai penubuhan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan, berkata mereka mempunyai tempoh lapan hari bagi membahaskan inti pati Belanjawan 2021 di peringkat dasar manakala 11 hari lagi untuk perbahasan di peringkat jawatankuasa.

"Jadi sampai 15 Disember ini, ahli Parlimen bebas untuk membahaskan belanjawan ini," katanya kepada pemberita selepas bertemu Menteri Besar Kedah di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan sesetengah pihak yang mempertikaikan peruntukan sebanyak RM81 juta untuk JASA yang didakwa sebagai satu pembaziran.

Mengulas lanjut, Setiausaha Agung PAS itu berkata Belanjawan 2021 dianggap sebagai satu belanjawan yang 'luar biasa,' sesuai dengan norma baharu dan perlu diterima oleh semua pihak.

"Bajet ini tidak boleh dibanding dengan bajet waktu biasa kerana sekarang keutamaan kerajaan bukan sahaja kepada hidup tapi kehidupan," kata beliau.

Dalam perkembangan lain, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata setakat ini, tiada penangguhan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula esok.

Beliau berkata pihaknya sudah merujuk perkara itu kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) namun dimaklumkan tiada sebarang larangan mengenainya.

Sidang DUN Kedah, yang akan menyaksikan pembentangan Belanjawan Negeri 2021, dijadual bermula dari 15 hingga 19 November ini.