YAN: Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) mengenal pasti perubahan besar muka bumi selepas menemui 69 kesan runtuhan tanah di kawasan Gunung Jerai dan Titi Hayun, di sini.

Pengarah JMG Kedah/Perlis/Pulau Pinang, Abdullah Sulaiman berkata, kesan runtuhan itu dikesan Pasukan Task Force Bencana Geologi yang melakukan pemantauan melalui udara dan siasatan di lokasi kejadian bencana kepala air sejak 19 hingga 31 Ogos lalu.

Jelasnya, kebanyakan runtuhan ini dikesan berada pada lereng gunung yang terletak berhampiran Titi Hayun dan Batu Hampar yang menyebabkan berlaku aliran lumpur serta puing ke kawasan penempatan di kaki gunung pada kejadian kepala air pada 18 Ogos lalu.

Pasukan penyiasat JMG mengesan runtuhan berlaku membabitkan 47 di Titi Hayun, Batu Hampar (10), laluan naik Gunung Jerai (10) dan masing-masing satu di Tanjung Jaga dan Lembah Bujang.

Menurut beliau, runtuhan yang dikesan termasuk bersaiz kecil dengan kelebaran antara dua hingga lima meter, manakala bersaiz besar dengan kelebaran antara 10 hingga 50 meter yang kebanyakkannya dikesan di Titi Hayun dan Batu Hampar.

Sehingga kini, kawasan lereng gunung di Titi Hayun dan Batu Hampar masih dianggap berisiko untuk berlaku runtuhan susulan dengan pasukan penyiasat masih melakukan proses tinjauan di semua lokasi terbabit.

"Dulu sungai tidak selebar ini, hanya dalam 10 meter ke 15 meter tetapi sekarang boleh cecah 20 ke 30 meter.

"Batuan pula mungkin telah dibawa bersama dengan aliran pokok dan kayu daripada atas maknanya kita tengok satu geomorphology ataupun bentuk sungai yang baharu.

"Kalau kita ke hulu kita akan dapati bentuk sungai tu lurah dia berbentuk V dan lagi satu aliran debri ni sifatnya dia akan bergerak dalam garis yang lurus, sebab itu kita nampak terbentuknya sungai baharu dulu," kata Abdullah.

Dalam kejadian 18 Ogos lalu, berlaku fenomena kepala air dan banjir lumpur sekitar Yan, Gurun dan Merbok yang menjejaskan kira-kira 1,000 keluarga selain merosakkan banyak infrastruktur serta kemudahan yang dianggar menyebabkan kerugian berjumlah RM75 juta.

Abdullah berkata, pihaknya percaya bencana geologi yang berlaku di Gunung Jerai adalah disebabkan faktor alam semula jadi dengan kawasan lereng gunung dijangka kembali kukuh berikutan runtuhan yang sudah berlaku.

Kajian mendapati kebanyakan runtuhan berlaku dalam kawasan formasi Jerai dengan batuan adalah terdiri daripada jenis syis dan kuartzit yang mengalami proses luluhawa, kesan hujan serta berada pada kedudukan cerun antara 70 hingga 80 darjah.

Pihaknya telah selesai melakukan proses pemetaan setiap lokasi runtuhan, namun proses pengumpulan data masih dilakukan bagi kawasan runtuhan di Tupah yang memerlukan bantuan dron Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JuPem).

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan bencana geologi yang berlaku di Gunung Jerai adalah lebih teruk berbanding yang berlaku di Pos Dipang, Kampar, Perak pada 1996, namun kedudukan penempatan yang jauh menyelamatkan banyak nyawa.