MALAYSIA
Berat badan berlebihan, obesiti remaja Terengganu semakin membimbangkan

Dr Kasemani (kanan) melawat salah satu gerai pameran di program sempena Program Agenda Remaja Terengganu Sihat dan Pelancaran Pelan Strategik Kesihatan Remaja 2026 hingga 2030 Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu pada Khamis. - Gambar Bernama
JERTIH: Berat badan berlebihan dan obesiti dalam kalangan remaja berusia 10 hingga 19 tahun di Terengganu semakin membimbangkan.
Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, daripada 13,613 remaja yang menjalani saringan kesihatan tahun lepas, sebanyak 664 daripada mereka mengalami masalah obesiti, 1,689 berat badan berlebihan dan 1,697 pula kurang berat badan.
"Gaya pemakanan antara faktor dikenal pasti menyumbang kepada masalah berat badan dalam kalangan remaja seperti mengambil minuman manis dan berlemak berlebihan daripada yang disarankan.
"Sebagai satu daripada langkah kesedaran dalam menangani isu pemakanan ini, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) telah memperkenalkan Program Hidangan Berkhasiat di Sekolah (HiTS) dan setakat Jun tahun ini, sebanyak 18 sekolah di Terengganu melaksanakan program ini," katanya.Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perasmian Program Agenda Remaja Terengganu Sihat dan Pelancaran Pelan Strategik Kesihatan Remaja 2026-2030 Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), di sini, pada Khamis.
Selain itu, Dr Kasemani berkata, masalah menghisap rokok elektronik atau vape dalam kalangan remaja berusia 13 hingga 17 tahun di negeri itu menunjukkan peningkatan kepada 16.1 peratus pada 2022, berbanding hanya 9.2 peratus pada 2017.
Beliau bagaimanapun berkata, jumlah remaja menghisap rokok menunjukkan penurunan kepada 5.8 peratus pada 2022 berbanding 15 peratus pada 2017.
"Isu kesihatan mental termasuk kemurungan juga tidak boleh dipandang remeh dan perlu diberi perhatian oleh semua pihak," katanya.
Dr Kasemani berkata, bagi menangani keseluruhan isu melibatkan remaja, JKNT telah mewujudkan satu Pelan Strategik Kesihatan Remaja 2026-2030, yang antara lain memfokuskan kepada inisiatif pengukuhan kemudahan, promosi kesihatan dan kerjasama antara pihak berkaitan.
Beliau berkata, bagi mengukuhkan program bersama remaja, sebanyak sembilan klinik kesihatan di Terengganu diiktiraf sebagai Best Practice Perkhidmatan Kesihatan Mesra Remaja (PKMR).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami