ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Khamis, 30 Julai 2020.

1) PM pesan ikut SOP, jangan berjalan ke sana ke sini sambut Aidiladha

Ketika umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha dalam suasana pandemik, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan rakyat supaya lebih peka dan berhati-hati kerana khuatir jangkitan COVID-19 akan meningkat.

2) Jualan lemang Aidiladha terjejas teruk tahun ini

Raya tahun ini yang disambut dalam kelaziman baharu ternyata memberi kesan kepada peniaga lemang apabila jualan mereka tidak sehebat tahun-tahun sebelum ini.

3) COVID-19: Lima perkara penting sidang media Dr Noor Hisham Abdullah hari ini

Tiada keperluan untuk menutup sekolah serta tadika di Sabah dan Kedah, walaupun ada murid yang dijangkiti COVID-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

4) Pelajar, guru sekolah di Sabah negatif COVID-19, tiada kluster baharu

Ujian saringan COVID-19 ke atas semua pelajar dan guru di sebuah sekolah yang seorang pelajarnya diuji positif jangkitan itu baru-baru ini, menunjukkan keputusan negatif, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

5) Polis Selangor jejak 88 individu gagal hadir saringan kedua COVID-19

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmat berkata kesemua mereka sebelum ini telah membuat saringan pertama dan menerima arahan kuarantin di rumah daripada Kementerian Kesihatan.

6) Kolej Matrikulasi, Institut Pendidikan Guru mula dibuka bulan depan - Ismail Sabri

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meneliti dan bersetuju dengan pembentangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

7) Dewan Undangan Negeri Sabah dibubarkan

Dalam satu sidang media khas pada Khamis, Mohd Shafie menjelaskan, pembubaran DUN Sabah itu telah mendapat perakuan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

8) Rombongan Musa Aman 'disekat' di luar pintu Istana Negeri

Hasil tinjauan Astro AWANI di lokasi mendapati sepasukan anggota polis melakukan kawalan keselamatan di Jalan Istana berhampiran Karamunsing, kira-kira pukul 3.45 petang.

9) Musa Aman tampil bukti dapat sokongan 33 ADUN

Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman tampil dengan foto bersama 32 lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang memberi sokongan kepada beliau sebagai Ketua Menteri Sabah.

10) Malaysia-Singapura sepakat sambung RTS, simbolik di Tambak Johor

Keceriaan jelas terpancar pada wajah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin dan rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong, yang bertemu dalam majlis simbolik di tengah Tambak Johor pada Khamis.