ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Jumaat, 5 Mac 2021.

1. Piala Sumbangsih: JDT mulakan kempen 2021 dengan kemenangan bergaya

Johor Darul Ta'zim (JDT) muncul pemenang Piala Sultan Haji Ahmad Shah 2021 selepas menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC, 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam ini.

2. Awang Rasau sudah tiada...

Seekor harimau Malaya yang digelar 'Awang Rasau' disahkan mati pada pukul 12 tengah hari, hari ini.

Berita sedih itu dimaklumkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menerusi kemas kini di laman Twitter dan Facebook mereka.

3. Jangan pilih jenama dan persoal jenis vaksin COVID-19 yang diterima - Muhyiddin

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta agar orang ramai tidak memilih dan mempersoal jenis mahupun jenama vaksin COVID-19 yang akan diterima mereka.

4. Zahid keluar wang Yayasan Akalbudi RM17.9 juta - Pegawai penyiasat SPRM

Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa terdapat penglibatan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam pengeluaran wang Yayasan Akalbudi milik bekas Timbalan Perdana Menteri itu, berjumlah RM17.9 juta yang digunakan untuk pembelian sijil simpanan tetap dan saham.

5. KSM arah JKKP siasat punca insiden SUKE

Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengarahkan pasukan penyiasat Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca insiden di projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE), pada Rabu yang mengorbankan dua wanita.

6. 'UMNO Sabah ada autonomi, kami akan bekerjasama dengan Bersatu' - Bung Moktar

Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengakui wujud rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, perkara itu benar-benar wujud, namun ia tidak bermakna perlu menghancurkan perjuangan yang dibawa kesemua parti dalam gabungan tersebut.

7. "Meskipun terlantar sakit, saya paksakan diri bekerja untuk anak-anak..."

"Selalunya saya paksa diri. Tidak semestinya sakit, kita jadi lemah. Jadi saya tetap bangun. Saya akan berlatih berjalan, tetapi bukan di hadapan anak-anak,".

8. COVID-19: 10 kluster baharu dikesan, sebahagian besar di tempat kerja

Sebanyak 10 kluster baharu dilaporkan hari ini, di mana lapan daripadanya adalah berkaitan tempat kerja manakala satu kluster daripada penularan komuniti dan satu lagi melibatkan aktiviti keagamaan.

9. 1,045 sekolah rendah di Sarawak dibuka mulai 8 Mac

Sesi Persekolahan bagi sekolah rendah melibatkan sekolah rendah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan di Sarawak akan bermula Isnin, 8 Mac 2021.

10. Terima jemputan Raja Salman, Muhyiddin bakal adakan lawatan ke Arab Saudi

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula 6 hingga 11 Mac ini.

Ini merupakan lawatan rasmi kedua Muhyiddin selaku Perdana Menteri selepas melawat Indonesia bulan lalu.