ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Selasa, 16 Mac 2021.

1. Label Pas 'pelacur': Tugas Ku Li sepatutnya menasihat, bukan mencetus perbalahan - Sanusi

Tugas yang dipertanggungjawabkan kepada Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO sepatutnya digunakan bagi tujuan menasihati ahli-ahli parti, kata Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat Muhammad Sanusi Md Nor.

2. Kerajaan perlu proaktif capai negara berpendapatan tinggi dalam masa lima tahun - Bank Dunia

Malaysia dijangka tetap akan mengalami peralihan daripada ekonomi berpendapatan sederhana tinggi kepada berpendapatan tinggi, dalam tempoh lima tahun, walaupun ada kekangan akibat COVID-19, menurut laporan Kumpulan Bank Dunia.

3. Roger Ng akan pulang selepas 1 Jun 2021 untuk hadapi pertuduhan di Malaysia

Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa yang diekstradisi ke New York, akan pulang ke Malaysia selepas 1 Jun ini bagi menghadapi pertuduhan bersubahat dengan syarikat itu berhubung penjualan nota sekuriti dan bon bernilai US$6.5 bilion milik anak syarikat 1MDB.

4. Bazar Ramadan, Aidilfitri dan solat tarawih dibenarkan - Ismail Sabri

Operasi Bazar Ramadan dan Aidilfitri dibenarkan di seluruh negara sepanjang Ramadan ini, namunm tertakluk pada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang akan ditentukan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri masing-masing, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

5. Sultan Selangor dukacita dengan sikap tidak berhati-hati keluarkan kata-kata jejas akidah

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita dengan sikap dan tingkah laku segelintir individu umat Islam khususnya di Selangor yang tidak berhati-hati dalam mengeluarkan kata-kata, yang boleh menjejaskan akidah dan keislaman mereka.

6. Kerjasama politik: Ada perbincangan antara pimpinan PKR-UMNO, masih terlalu awal - Anwar

Ketua Pembangkang yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menafikan kemungkinan kerjasama antara parti pimpinannya dengan UMNO, namun setakat ini ia masih dalam peringkat perbincangan awal.

7. Muhyiddin disahkan negatif COVID-19

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah selesai menjalani ujian saringan COVID-19 hari kelima Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah pada Isnin.

Keputusan ujian saringan COVID-19 Muhyiddin yang diperoleh pada Selasa dan beliau disahkan negatif.

8. Bincang isu rasuah, SPRM sedia bertemu Anwar

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki bersedia untuk menerima dan bertemu dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

9. BCorp lantik Jalil Rasheed sebagai CEO Kumpulan baharu

Berjaya Corporation Bhd (BCorp) melantik Abdul Jalil Abdul Rasheed sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan yang baharu, berkuat kuasa hari ini.

10. COVID-19: Malaysia catat 1,063 kes baharu, terendah tahun ini

Malaysia merekodkan kes baharu terendah untuk tahun ini iaitu 1,063 kes, menjadikan jumlah keseluruhan kini sebanyak 326,034 kes.