ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah berita paling menjadi tumpuan sepanjang Isnin, 24 Mei 2021.

1. Pengalaman ngeri bekas pesakit COVID-19 bertarung nyawa di ICU

"Sepanjang hidup saya takkan lupakan malam 1 Mei lalu. Malam itu saya bertarung nyawa dengan virus COVID-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU). Degupan jantung saya jatuh sehingga 40 denyutan seminit setiap 30 minit ketika diberi bantuan pernafasan. Itu kiranya paras bahaya. Paras normal 60-100 degupan seminit."

2. 1MDB: Perbicaraan ditangguh, Najib alami hematoma selepas pembedahan mata

Mahkamah Tinggi pada Isnin menangguhkan perbicaraan kes berhubung penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion selepas bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dilaporkan tidak sihat.

3. COVID-19: Nilai R-naught negara naik 1.21, tertinggi tahun ini

Untuk tempoh seminggu berturut-turut, kadar kebolehjangkitan R-naught COVID-19 di Malaysia tidak pernah turun. Pada Ahad, ia mencatatkan nilai tertinggi pernah direkodkan untuk tahun ini iaitu 1.21.

4. COVID-19: 6,509 kes baharu, 61 kematian direkodkan, tertinggi setakat ini

Malaysia merekodkan jumlah kematian akibat COVID-19 tertinggi pada Isnin iaitu sebanyak 61 kes. Ia menjadikan jumlah kumulatif kes kematian melibatkan virus itu sebanyak 2,309 kes setakat ini.

5. Pemeriksaan lebih ketat di 13 SJR bermula esok - Polis KL

Polis Kuala Lumpur akan mengetatkan kawalan di 13 sekatan jalan raya (SJR) sedia ada bermula esok, seiring pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang lebih ketat bagi mengekang penularan COVID-19.

6. Dakwaan Ahmad Zahid salah guna jawatan untuk rasuah adalah 'character assassination' - Peguam bela

Pihak pembelaan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan cuba membuktikan anak guam mereka tidak pernah menyalahguna kedudukan beliau sebagai Menteri Dalam Negeri antara 2014 hingga 2018 untuk menerima sebarang suapan.

7. Vaksin AstraZeneca: Jangkaan pemberian 26,300 dos sehari bermula 21 Jun

Ketua Pegawai Eksekutif ProtechHealth Corporation Sdn Bhd, Dr Anas Alam Faizli berkata pertambahan beberapa Pusat Pemberian Vaksin AstraZeneca (PPV AZ) di Pulau Pinang, Johor, Kuching dan Miri dijangka bakal menyumbang kepada peningkatan tersebut.

8. Lapan kluster tempat kerja antara 20 kluster baharu dikenal pasti

Kementerian Kesihatan Malaysua kenal pasti lapan kluster tempat kerja, enam kluster komuniti, tiga kluster keagamaan, serta masing-masing satu bagi kluster institusi pendidikan KPM, kluster kumpulan berisiko tinggi, dan kluster import.

9. Tempoh kuarantin pengembara luar negara dilanjutkan serta-merta - Ismail Sabri

Tempoh kuarantin wajib bagi semua pengembara dari luar negara dilanjutkan daripada 10 hari kepada 14 hari di stesen kuarantin yang ditetapkan kerajaan berkuat kuasa serta-merta.

10. 47 parah, 166 cedera ringan LRT bertembung berhampiran Stesen KLCC

Seramai 47 penumpang parah manakala 166 cedera ringan apabila dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) bertembung dalam kemalangan berhampiran Stesen KLCC malam ini.