ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Isnin, 11 Oktober 2021.

1. Rentas negeri, melancong dalam dan luar negara dibenarkan mulai hari ini

Selepas sembilan bulan larangan rentas negeri dikuatkuasakan sejak 10 Januari lalu, kerajaan akhirnya bersetuju membenarkan perjalanan antara negeri juga luar negara bermula hari ini.

2. Pelakon, pengarah antara tiga ditahan positif dadah

Seorang pelakon berusia 29 tahun ditahan bersama-sama seorang pengarah dan penolong pengarah kerana disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kuala Kangsar.

3. Mahkamah benar pelepasan sementara pasport Ahmad Zahid untuk rawatan di Jerman

Pelepasan sementara pasport itu tidak akan mengganggu tarikh perbicaraan Ahmad Zahid yang ditetapkan pada 22 Okt depan.

4. "Status saya masih lagi ibu tunggal" - Erra Fazira jawab dakwaan bergelar isteri kedua Faizal Azumu

Pelakon dan penyanyi ternama, Erra Fazira menjelaskan, dia tidak bernikah, jauh sekali bergelar isteri kedua kepada seorang kenamaan seperti yang dilaporkan di pelbagai portal hari ini.

5. Jangan makan kerang-kerangan dari perairan Sungai Geting - Jabatan Perikanan

Jabatan Perikanan Negeri Kelantan menasihatkan orang ramai supaya tidak memakan kerang-kerangan yang diperoleh dari perairan Sungai Geting di sini, berikutan kawasan tersebut disyaki telah tercemar dengan serangan alga merah.

6. Ong Kian Ming positif COVID-19

Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming disahkan positif COVID-19 selepas menjalani ujian saringan di Kompleks Parlimen, di sini petang tadi.

7. Peniaga didakwa tipu lelaki RM50,000 guna nama Ahmad Maslan

Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang lelaki dengan mengaku sebagai pembantu peribadi kepada bekas Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan sehingga menyebabkan mangsa menyerahkan wang sebanyak RM50,000.

8. Cuba nasib masuk Kelantan walau tidak lengkap vaksinasi, individu bawa keluarga diarah berpatah balik

Seorang individu yang memandu kenderaan dari luar Kelantan diarahkan berpatah balik pada hari pertama pembukaan sempadan negeri.

9. LLM jangka trafik di lebuh raya meningkat kepada empat juta kenderaan sehari

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan jumlah trafik akan meningkat kepada empat juta kenderaan berbanding 3.5 juta kenderaan dalam tempoh sehari pada masa ini.

10. Stor proses, jual air ketum dilengkapi 10 CCTV diserbu polis

Selepas menerima aduan dari penduduk kampung, sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah bersama Unit Risik Pasukan Polis Marin (PPM) Kedah, bertindak menyerbu stor memproses air ketum di Tebengau pada jam 11 pagi tadi.