ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Khamis, 20 Oktober 2022.

1. PRU15: Tarikh mengundi ditetapkan 19 November

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 19 November 2022 sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15.

2. PRU15: SPR punyai kuasa untuk ubah dan tangguh tarikh pengundian sekiranya banjir

Suruhanjaya Pilihan Raya berkuasa menangguhkan proses pengundian dan mengubah ke tarikh baharu untuk pengundian di sesuatu lokaliti sekiranya berlaku insiden atau bencana tidak diingini.

3. Remaja perempuan baling pisau pada adik sehingga maut, direman 6 hari

Seorang remaja perempuan yang dipercayai membaling pisau pada adik lelakinya sehingga menyebabkan maut di Ulu Pulai, Ulu Choh dekat Iskandar Puteri semalam, direman enam hari bermula hari ini.

4. Penjara larang Najib bercakap mengenai PRU15

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilarang untuk mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

5. PRU15: "Ini keputusan yang paling sukar" - Kasthuri Patto umum tidak bertanding

Penyandang Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto daripada parti DAP mengumumkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

6. Hapuskan tanggapan rokok elektronik selamat digunakan - Khairy

Pendapat bahawa vape atau rokok elektronik selamat untuk digunakan perlu dihapuskan.

7. Dua beradik didakwa bunuh anggota Rela

Dua beradik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di hadapan sebuah unit pangsapuri di Petaling Jaya, 8 Okt lepas.

8. Dakwaan ejen Mossad: PM beri jaminan keselamatan negara masih di tahap terbaik

Keselamatan negara masih di tahap terbaik dan rakyat tidak perlu bimbang, susulan dakwaan wujud ejen perisikan Israel, Mossad, beroperasi di negara ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

9. DASH catat kemalangan maut pertama libatkan penghantar makanan

Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) yang dibuka pada Jumaat lepas, mencatat kemalangan maut pertama melibatkan seorang penghantar makanan apabila motosikal ditunggangnya terbabas dan melanggar pembahagi jalan di lebuh raya itu, tengah malam tadi.

10. PRU15: Anwar Ibrahim umum bertanding di Tambun

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan akan bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).