Berita Terkini ASEAN25: Kewibawaan Malaysia kian menyerlah di pentas dunia - Mohamad Hasan

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan meninjau persiapan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kewibawaan Malaysia sebagai kuasa berpengaruh di arena diplomasi antarabangsa semakin menyerlah apabila nama negara sering mendapat perhatian dalam pelbagai persidangan dan forum dunia sejajar dengan peranan aktifnya selaku Pengerusi ASEAN 2025.
Ringkasan AI
- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata nama Malaysia semakin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa hasil peranan aktif negara sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
- Malaysia kini dilihat sebagai penghubung penting antara kuasa besar dunia dan rakan serantau, mencerminkan keyakinan global terhadap kepimpinannya.
- Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dari 26 hingga 28 Okt ini di Kuala Lumpur bakal menghimpunkan lebih 3,000 delegasi termasuk pemimpin utama dunia seperti Donald Trump dan Li Qiang.
"Dalam setiap forum antarabangsa, termasuk semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu baru-baru ini, saya sendiri diundang untuk menyampaikan ucaptama mewakili Perdana Menteri," katanya kepada Bernama ketika meninjau persiapan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Beliau berkata Malaysia yang sering diundang menyertai forum-forum berprestij dunia mencerminkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap pandangan dan kepimpinan negara dalam pelbagai isu serantau serta global.
Mohamad berkata prestasi Kepengerusian Malaysia-ASEAN 2025 tidak hanya diukur daripada aspek penganjuran, tetapi juga dari sudut kejayaan Malaysia menjadi penghubung antara kuasa besar dunia dan rakan serantau.
"Malaysia kini dianggap sebagai negara yang berjaya dalam rantau ini, terutama apabila kita memainkan peranan aktif sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
"Ini bukan sahaja mengangkat imej Malaysia, tetapi juga mengukuhkan kedudukan ASEAN sebagai blok serantau yang semakin dihormati," katanya.
Beliau berkata Malaysia komited untuk memastikan hubungan baik yang terjalin dengan pelbagai negara terus diperkukuh bukan hanya sepanjang tempoh Kepengerusian ASEAN, tetapi juga selepas tanggungjawab itu diserahkan kepada Filipina pada 2026.
"Kita mahu pastikan jalinan kerjasama strategik yang sedia ada bukan bersifat sementara, malah terus dimanfaatkan demi kepentingan bersama," katanya.
Kuala Lumpur bakal menjadi tumpuan dunia sekali lagi apabila lebih daripada 3,000 delegasi termasuk pemimpin dunia dan pegawai kanan bakal berkumpul di sini dari 26 hingga 28 Okt, di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan".
Selain pemimpin ASEAN, antara pemimpin berprofil tinggi dunia yang dijadual menghadiri sidang kemuncak itu ialah Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Perdana Menteri China Li Qiang, Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva, Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa, Presiden Kesatuan Eropah Antonio Costa dan Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi.
Ini kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN sejak penubuhan badan serantau itu pada 1967 selepas 2015, 2005, 1997 dan 1977.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami