KUALA LUMPUR: Di sebalik desakan supaya Dewan Rakyat dibubarkan, beberapa perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri mempersoalkan kesediaan UMNO untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Mereka menyifatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka tidak boleh dijadikan ukuran kerana seluruh jentera UMNO digembleng ke negeri-negeri itu.

Malah mereka meminta semua pihak supaya menyerahkannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kepemimpinan tertinggi UMNO untuk berbincang sebelum dipersembah dan mendapat perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Ketua Wanita UMNO Bahagian Bagan Serai, Zarina Abdol Majid berkata, dalam PRU, tidak mungkin ada jentera parti dari negeri lain yang akan datang membantu kecuali ahli parti di kawasan atau negeri sendiri. 

“Jangan kita ulangi perangai lama. Kekalahan PRU-14 seharusnya dijadikan iktibar. Janganlah kita leka bermusuhan dan berpuak-puak sesama sendiri, umpama menghalakan senjata ke kubu sendiri.

“Tidak perlu kita membuka segala strategi kita berkaitan tarikh PRU-15 kerana akan diketahui pihak musuh yang akan menggunakan peluang mengatur strategi mereka pula,” katanya ketika membahas usul kestabilan dalam Persidangan Wanita UMNO pada Khamis. 

PERKEMBANGAN PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2021

Ketua Puteri UMNO Bahagian Jasin, Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, tanpa bantuan daripada semua pihak beliau tidak akan menang Dewan Undangan  Negeri (DUN) Rim semasa PRN Melaka tahun lepas.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua, khususnya Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Kabinet dari UMNO yang datang membantu kempen saya.

“Tanpa bantuan mereka mungkin saya tidak akan menang. Keadaan PRN dan PRU sangat berbeza. Adakah kita bersedia untuk masuk PRU,” katanya.

Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizhan Abdullah Hamidi  berkata, berikan ruang kepada ‘Top 5’ – Presiden, Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden - berbincang dalam apa juga hal melibatkan kepentingan UMNO dan sebarang keputusan akan disokong oleh akar umbi.

“Kita perlu perkemaskan jentera masing-masing. Bayangkan tanpa bantuan rakan-rakan dengan kekurangan dana semasa PRN Johor, apakah kita mampu menang?

“Perkemas jentera dengan naratif baharu supaya kita benar-benar bersedia untuk menghadapi PRU-15 nanti” katanya.