KUALA LUMPUR: Seramai 50 saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan kes pengubahan wang haram dan rasuah dihadapi bekas Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan berhubung projek Jana Wibawa di Mahkamah Sesyen di sini.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Rasyidah Murni Azmi memaklumkan perkara itu semasa pengurusan kes di hadapan Hakim Rozina Ayob hari ini.

"Sebahagian besar pernyataan saksi itu agak panjang, maka prosiding (perbicaraan) bergantung kepada pemeriksaan balas oleh pihak pembelaan," kata Rasyidah Murni yang mengendalikan kes bersama TPR Nor Diana Nor Azwa.

Peguam Chetan Jethwani, yang mewakili Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata pihaknya belum menerima pernyataan saksi daripada pendakwaan tetapi telah menerima empat ikatan dokumen berkaitan kes dan berharap pernyataan saksi dapat diberi lebih awal bagi membuat persediaan sebelum perbicaraan bermula.

Rozina berkata tarikh perbicaraan pada 25 hingga 27 Mac; 29 dan 30 April; dan 20 hingga 21 Mei; 19 hingga 21 Jun; 24 dan 25 Jun; 10 hingga 12 Julai serta 8 dan 9 Ogos dikekalkan selain menetapkan tarikh tambahan bicara pada 19 hingga 23 Ogos.

Difahamkan, antara saksi-saksi yang akan dipanggil ialah kakitangan bank dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia serta ahli politik.

Wan Saiful, 47, didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuknya membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek "Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur" daripada kerajaan Malaysia secara prakelayakan yang jumlah keseluruhannya RM232 juta.

Beliau juga dituduh menerima bagi dirinya suapan wang tunai berjumlah RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Syarikat Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek itu.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini, pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini antara 8 Julai 2022 hingga 30 Sept 2022.

Wan Saiful juga didakwa atas 18 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM5.59 juta dengan memindahkan dan menggunakan wang hasil aktiviti haram itu antaranya untuk membayar pembelian sebuah kereta jenis Ford Ranger, pembayaran kepada Majlis Sukan Negara Malaysia selain memindahkan wang berkenaan ke beberapa akaun syarikat termasuk milik Syarikat Sinar Karangkraf Sdn Bhd.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Cawangan CIMB Bank Berhad Bukit Tunku di sini antara 12 Ogos dan 13 Nov 2022, mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

-- BERNAMA