KUALA TERENGGANU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersiap siaga menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) termasuk sekiranya banjir melanda di kawasan Pilihan Raya Kecil (PRK).

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Abdul Wahab Mat Yasin berkata pihaknya telah bersedia sekiranya terdapat permintaan termasuk daripada Suruhanjaya Pilihan Raya bagi memastikan kelancaran PRK Parlimen Kemaman pada 2 Dis ini dan PRK Dewan Undangan (DUN) Jepak 4 Nov ini.

"Sekiranya ada keperluan bantuan daripada bomba, kita memang bersedia membantu menggerakkan aset-aset yang ada berdasarkan keperluan semasa. Contohnya untuk menghantar pengundi ke pusat pengundian atau untuk tujuan pengurusan peti-peti undi, ini memang kita bersedia.

"Khususnya bagi PRK Kemaman, kita telah kenal pasti sebanyak 36 lokasi 'hotspot' berisiko banjir jadi kita telah arahkan JBPM Terengganu supaya bersiap sedia sekiranya terdapat kawasan pengundian yang terjejas banjir," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penganugerahan Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2022 dan Sijil Perkhidmatan 30 Tahun JBPM di sini hari ini.

Pada majlis tersebut seramai 59 pegawai dan anggota di Terengganu menerima APC manakala 45 pegawai dan anggota menerima Sijil Perkhidmatan 30 Tahun.

Dalam pada itu Abdul Wahab berkata JBPM telah mewujudkan Pasukan Gerak Cepat MTL di seluruh negeri yang akan memudahkan usaha pemindahan dan penempatan mangsa-mangsa banjir.

Katanya pasukan tersebut di setiap negeri mempunyai 15 ahli yang terdiri daripada pegawai dan anggota pelbagai kemahiran seperti Pasukan Penyelamatan Di Air dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan.

Ditanya mengenai Terengganu, Kelantan dan Pahang yang dijangka merupakan terawal menerima taburan hujan lebat, Abdul Wahab berkata pihaknya telah menjadikan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur di Wakaf Tapai dekat Marang sebagai pengkalan hadapan bagi zon Pantai Timur untuk menempatkan aset-aset penyelamatan.

"Aset-aset penyelamatan ini mula ditempatkan di akademi kita mulai November depan. Apabila banjir berlaku di seluruh Terengganu, Kelantan dan Pahang aset-aset ini akan segera digerakkan ke kawasan terlibat," katanya.

-- BERNAMA