Cadangan mengawal pemilihan parti sebelum pilihan raya umum (PRU) akan datang dilihat boleh menjejaskan agenda UMNO untuk mencari lebih banyak sokongan kepada parti.
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Johan Abdul Aziz berkata ia harus dikaji semula selain tindakan itu disifatkan berisiko mewujudkan perpecahan dalaman organisasi berkenaan.
"Kita mohon dikaji semula kerana bimbang agenda mencari pengundi untuk PRU bertukar keutamaan menjadi mencari perwakilan cawangan.
"Ia sangat bahaya, ia dapat mewujudkan sengketa dan bermasam muka sebelum PRU," katanya ketika ditemui semasa Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini, hari ini.
Johan mengulas cadangan Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya UMNO tidak menangguhkan pemilihan parti selepas pilihan raya umum seperti yang dilakukan sebelum ini, sebaliknya menjalankan pemilihan tersebut mengikut masa yang ditetapkan oleh perlembagaan parti.
Muhyiddin juga mencadangkan Perlembagaan UMNO dipinda pada tahun depan untuk membolehkan barisan pelapis muda memainkan peranan dan memberi khidmat lebih besar kepada parti itu.
Kata Johan, ahli UMNO sendiri perlu waspada kedudukan parlimen yang tidak cukup 'kuat' kini mengundang pelbagai kemungkinan kepada parti.
"Bahaya, harus diingatkan parlimen kita tidak sampai 2/3. Jika hendak buat penyatuan selepas pemilihan pastinya makan masa. Budaya cantas dalam UMNO masih wujud," ujarnya.
Pandangan sama diberi Ketua Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari yang menyifatkan situasi itu tidak sesuai pada masa bahagian-bahagian masih dalam proses pemantapan ahli.
"Sasaran setiap program masih belum dicapai, kita khuatir fokus lebih ke arah mengukuhkan kedudukan dalam parti dan kita akan pecah semula.
"Kita juga bimbang tidak cukup masa jika diadakan pemilihan dan masa sangat terhad untuk memulihkan penyatuan ahli parti menjelang PRU," jelasnya.
Pandangan berbeza disuarakan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad yang menyifatkan pemilihan 2016 membuktikan semangat untuk meremajakan parti.
"Saya sokong adanya pemilihan sebelum PRU, itu tanda yang menunjukkan muka baharu dalam parti menjelang PRU dan sekali gus boleh menerajui UMNO.
"Ia tidak mengganggu fokus PRU, dahulu semasa tahun 1998 ada pemilihan, UMNO tetap menang pada PRU 1999," katanya.
Pandangan itu disokong perwakilan dari Perlis, Azrinizam yang memberitahu ia langkah berani untuk proses peremajaan UMNO.
Azrinizam, yang juga Presiden Aktivis Belia Tanahair (ABATA), melihatnya sebagai proses demokrasi subur untuk membolehkan pemimpin muda mengambil tempat dalam parti untuk menghadapi PRU ke-14.
"Tidak bermakna mengenepikan terus mereka yang sudah lama dan berpengalaman dalam parti, namun jika pemilihan 2016 ini memberikan satu kombinasi yang lebih baik untuk UMNO hadapi PRU14, maka ianya perlu diadakan untuk kebaikan bersama parti dan rakyat.
"Paling penting usah jadikan pemilihan ini untuk kepentingan diri; terimalah ia untuk proses menguat dan memperkukuh parti," jelasnya.
Dalam pada itu, Exco Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad mengambil langkah berkecuali dalam isu berkenaan.
"Mana-mana pun boleh. Kedua-duanya pernah dipraktikkan UMNO," katanya.