KUALA LUMPUR: Kerja-kerja penyelenggaraan fasiliti pengangkutan awam wajar dibudayakan bagi memastikan kemudahan awam dalam negara sentiasa berada pada tahap terbaik, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata perkara itu perlu diterapkan sepanjang masa dan menjadi sebahagian daripada norma kerja pihak berwajib setiap masa dan bukan hanya mengambil tindakan apabila sesuatu isu berhubung penyelenggaraan itu dibangkitkan.

"Jadi saya berharap kita dapat memastikan (sistem) penyelenggaraan yang lebih baik sepanjang masa. Ini sudah tentu saya rasa boleh dilaksanakan jika kita mempunyai program (berterusan) yang memastikan ada audit (dilakukan) sepanjang masa.

"Saya telah minta Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk hadir mesyuarat pasca-Kabinet di Kementerian Pengangkutan selepas ini. Difahamkan dua tahun mereka tidak dijemput ke mesyuarat ini," katanya pada sidang media selepas melancarkan Persidangan Usahawan Malaysia-China ke-12 (MCEC 2022) di sini hari ini.

Beliau berkata mesyuarat itu juga akan memberi fokus pada laporan berkala berhubung operasi kemudahan awam, pelanggan dan penyelenggaraan yang disediakan agensi terbabit setiap minggu.

"Saya nak pastikan bukan sahaja di kawasan tertentu yang penting, tetapi juga di semua stesen dan ini memerlukan usaha yang berterusan," katanya.

Loke turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak Prasarana, MRT Corp, pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kuala Lumpur dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atas tindakan segera yang diambil untuk membaiki kemudahan-kemudahan awam.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai laporan media luar negara berhubung dakwaan serpihan MH370 ditemui, beliau berkata kementeriannya masih belum menerima sebarang makluman mengenai perkara itu.

Mengulas mengenai program MCEC 2022, Loke berkata program itu dilihat penting bagi memastikan kerjasama antara Malaysia dan China berada di tahap yang tinggi sekali gus menjadi platform yang memacu perniagaan dan pelaburan ke dalam negara.

Turut hadir persidangan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Affin Bank Datuk Wan Razly Abdullah dan Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing.

-- BERNAMA